PRN JOHOR l Pemimpin bersama Bersama, Rafizi Ramli memuji calon partinya bagi kerusi Perling, Boo Wei Han, kerana berani membangkitkan isu mencabar yang benar-benar penting bagi pengundi.
Ini selepas Boo dalam ucapannya menyentuh secara ringkas mengenai bantahan terhadap penternakan babi.

Dalam ceramah Bersama di Taman Pelangi malam tadi, Boo — yang juga CEO sebuah firma pengurusan — mengadu tentang bagaimana isu tersebut memberi kesan kepada penternak.
“(Mereka) sudah 30 tahun 40 tahun bela babi. Ada orang matikah (kerana) tinggal sebelah babi atau kena penyakit?
“Saya rasa ini harap boleh ada U turn (pusingan U) lah. Saya pun kesianlah dia (penternak) semua hidup dua tiga generasi semua bela babi.
“(Sekarang) tiba-tiba kamu suruh dia tutup semua,” katanya dalam ucapan su;ung ceramahnya.
Boo dipercayai merujuk kepada larangan penternakan babi di Selangor — isu yang menarik perhatian masyarakat bukan Islam kerana dianggap mencabuli hak mereka.
Penternakan babi pernah menyebabkan wabak penyakit maut, terutamanya wabak virus Nipah pada 1998 dan 1999 yang mengakibatkan 265 kes encephalitis dengan 105 kematian.
Bagaimanapun, bantahan baru-baru ini sebahagian besarnya disebabkan oleh isu masyarakat dan ekologi, dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan larangan tersebut.

Di Johor, penternakan babi masih dibenarkan, dengan negeri itu dikategorikan sebagai antara pengeluar utama di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, Boo turut menyentuh ringkas satu lagi isu yang bermula di Selangor mengenai sekatan ketinggian bagi rumah ibadat bukan Islam — yang diakuinya sudah diselesaikan.
Setengah jam selepas kenyataan Boo mengenai penternakan babi, Rafizi berkata dia menerima mesej amaran tentang potensi berlakunya tindak balas negatif.

Bagaimanapun, dia berkata ini contoh terbaik mengapa dia mahu rakyat biasa bertanding pada pilihan raya, dengan menyatakan mereka tidak menapis isu kehidupan sebenar demi kepentingan politik.
“Itu (penternakan babi) memang isu yang dekat dengan hati banyak pengundi Cina.
“Kita tak suruh orang Melayu makan babi.Kita tak suruh pun semua orang meraikan ‘jomlah kita makan babi ke, kita tak suruh.
“Tetapi kita kalau jadi wakil rakyat kita kena mewakili semua orang semua rakyat benda yang mungkin kita tak buat tapi kalau perkara itu adalah penting kepada sebahagian pengundi kita,” katanya.
Begitu juga, dia berkata ahli politik tidak sepatutnya takut untuk menangani isu yang penting kepada orang Melayu hanya kerana takut kehilangan undi masyarakat Cina.
Dia berkata Bersama tidak menyediakan teks ucapan untuk calon mereka, dan dia mahu mereka bercakap dari hati.
“Tdi yang cakap tadi tu memanglah tak ada skrip Saya tak tahulah keluar cerita ke tidak lepas ini tapi jawapan saya atas pentas akan sama dengan jawapan saya kalau saya ditanya media atau siapa-siapa.
“Itulah suara rakyat orang biasa yang duduk sebagai orang Cina di negara ini,” katanya.
Rafizi kemudian menyelar saingan politiknya.
"Jangan tanya saya, jangan tanya Boo, tanya DAP, MCA, Anwar Ibrahim mengapa mereka tidak bercakap," katanya.
Beberapa pemimpin DAP sebelum ini ada yang sudah bersuara mengenai larangan penternakan babi di Selangor, atau mempertahankan hak anggota mereka untuk menyatakan pandangan mengenainya. Bagaimanapun, isu itu agak reda sejak ketegangan terakhir memuncak pada April lalu.





