Industri perfileman tempatan bakal diserikan dengan kemunculan filem ‘The Keris’, sebuah karya yang menggabungkan unsur warisan, aksi dan drama dalam penceritaan yang sarat dengan nilai sejarah serta identiti budaya.
Filem ini turut mengangkat semangat perjuangan, kepercayaan dan keberanian dalam menghadapi pelbagai cabaran yang menguji keteguhan jiwa.
Artikel Berkaitan: Hampir 1,000 Peserta Rebut Ganjaran Menerusi ‘Tonton Non Stop, On Top!’
Artikel Berkaitan: REDLINE Fitness Games By Prudential Bakal Gegarkan Kuala Lumpur Pada 25 & 26 Julai Ini
Generasi muda kurang pengetahuan sejarah Melayu

Menurut penerbitnya, Dr. Matheyalagan, idea untuk menghasilkan filem tersebut lahir daripada kebimbangannya terhadap tahap pengetahuan generasi muda yang semakin berkurangan mengenai tokoh-tokoh sejarah Melayu seperti Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya.
Saya mendapati bahawa kisah sejarah seperti hikayat Hang Tuah yang begitu cukup terkenal semakin dilupakan.
Boleh dikatakan segenlintir anak muda hari ini tidak lagi mengenali Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya.
Maka, ia telah mencetuskan idea dalam diri saya untuk menghasilkan The Keris bagi membangkitkan semula sejarah lama serta seni persilatan yang wajar diwarisi oleh generasi akan datang.
Filem ‘The Keris’ mengisahkan tentang seorang anggota mafia dari luar negara yang berusaha mendapatkan Keris Tempa Melaka milik Hang Tuah, yang dipercayai mempunyai keistimewaan tersendiri dan berada dalam simpanan seorang individu.
Selain itu, Dr. Matheyalagan menjelaskan bahawa filem arahan Viknes Perrabu itu tampil dengan pendekatan berbeza menerusi gabungan dua garis masa, iaitu era moden dan zaman kegemilangan Hang Tuah.
Dalam pada itu, dia turut memaklumkan bahawa filem terbitan Mathe’s Production House Sdn. Bhd. mengetengahkan pelbagai aksi persilatan, seni mempertahankan diri moden serta babak-babak lagak ngeri yang penuh debaran.
Walaupun berasal daripada kaum India, Dr. Matheyalagan melihat usaha menghasilkan filem yang berteraskan budaya Melayu sebagai satu bentuk penghargaan terhadap warisan negara dan tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai rakyat Malaysia.
Katanya lagi, pengalamannya membesar bersama masyarakat Melayu sejak kecil banyak mempengaruhi minat dan kecintaannya terhadap budaya serta nilai yang diamalkan oleh masyarakat tersebut.
Saya sememangnya membesar bersama rakan-rakan Melayu.
Malah, saya selalu makan, minum dan tinggal bersama mereka di kampung.
Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa bangga dapat menghasilkan sebuah karya yang mengangkat budaya serta semangat pahlawan Melayu yang bersejarah.
Tambahnya, pembikinan filem itu dibiayai sepenuhnya menggunakan dana sendiri tanpa menerima sebarang pembiayaan daripada pihak luar mahupun FINAS.
Kaya dengan elemen budaya

Dalam perkembangan sama, Viknes berkata dia menerima tawaran untuk mengarahkan ‘The Keris’ kerana ingin meneroka industri perfileman Melayu selepas lebih 15 tahun aktif menghasilkan filem berbahasa Tamil.
Menurutnya, keyakinan terhadap kekuatan skrip dan jalan cerita yang unik menjadi faktor utama dia bersetuju menggalas tanggungjawab tersebut kerana naskhah itu kaya dengan elemen budaya, sejarah dan identiti bangsa.
Apabila saya melihat skrip dan jalan cerita filem ini, saya merasakan ia mempunyai potensi yang besar.
Kami melakukan banyak kajian mengenai senjata keris, sejarahnya serta adat dan budaya Melayu yang merangkumi pelbagai istilah dan nilai tradisi.
Filem ini menampilkan gabungan kisah legenda Melayu, khususnya pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat, yang diolah dalam latar kehidupan moden bagi memberikan nafas baharu kepada cerita berunsurkan warisan Melayu.
Tambah Viknes lagi, pasukan produksi menjalankan kajian secara terperinci sebelum skrip dimuktamadkan, selain turut mendapatkan khidmat Datuk Zulkiflie M. Osman dalam proses pembangunan skrip.
Menyentuh cabaran sepanjang pembikinan filem itu, dia mengakui pengalaman pertama mengarahkan filem Melayu memerlukan penyesuaian khususnya dalam aspek komunikasi.
Selama ini saya biasa bekerja dalam persekitaran filem Tamil dan memberi penerangan dalam bahasa Tamil.
Untuk The Keris, komunikasi dalam bahasa Melayu sedikit mencabar terutama ketika memberi arahan atau penjelasan kepada pasukan produksi dan pelakon.
Bagaimanapun, dia berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh barisan pelakon berpengalaman seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Raja Azrey yang banyak membantu memastikan proses penggambaran berjalan lancar.
Filem ‘The Keris’ dibintangi oleh Syazlie Syazz, Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Raja Azrey dan Datuk Jalaluddin Hassan.
Filem ini dijadualkan akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 2 Julai ini.
Lebih istimewa, filem ini turut menampilkan kemunculan khas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerusi watak cameo.
The post The Keris Gabungkan Era Moden & Zaman Hang Tuah, Bakal Gegarkan Pawagam Julai In first appeared on OHBULAN!.





