Seorang anggota bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Bachok hari ini atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga melanggar seorang kanak-kanak perempuan pada 3 Jan.
Pengakuan Mohammad Shuhaili Shuib, 46, direkodkan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova dengan cuai melanggar kanak-kanak perempuan berusia empat tahun sehingga mendatangkan kecederaan parah di kawasan parkir Sri Chalet Nipah di Bachok pada 10.45 pagi 3 Jan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala lelaki itu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Habil Zainal Abidin.
Muhammad Aiman Syahmi menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 namun Muhammad Habil merayu jumlah itu dikurangkan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.





