PRN JOHOR | Pertarungan satu lawan satu di 14 kerusi dalam PRN kali ini dijangka menjamin tujuh kemenangan buat BN yang berdepan dengan cabaran daripada PH, antara lain kerana arahan daripada PAS dalam percaturan mereka memastikan PH kalah.
Enam daripada 14 kerusi itu ialah Machap, Benut, Buloh Kasap, Tanjung Surat, Pekan Nanas, dan Kukup. Dalam PRN lalu – yang dilangsungkan pada Nov 2022 – BN memperoleh sekurang-kurangnya 40 peratus undi jika melihat kepada dapatan pada electiondata.my.
Dengan undi yang akan diberikan oleh penyokong PN, jumlah itu boleh meningkat kepada 60 peratus atau lebih tinggi.
Malah jika penyokong PN memilih untuk tidak mengundi BN pun, parti berkenaan dijangka tidak bermasalah untuk muncul sebagai pemenang.
Di kerusi lain yang bakal dimenangi BN, Pulai Sebatang, analisis peringkat kawasan DUN semasa pertandingan empat penjuru dalam PRU ke-15 menunjukkan BN mendahului PH dengan 114 undi.
Dari segi kadar undi pula, BN mengumpul 36.3 peratus, berbandun PH 36 peratus.
Pada asalnya ia mungkin menjadikan kerusi tersebut dalam keadaan tidak menenti. Pun begitu, dengan langkah PN tidak meletakkan calon di situ, peratusan undi yang bakal diterima BN dijangka melonjak kepada lebih 55 peratus.
Peratusan undi itu mungkin akan lebih tinggi jika terdapat peratusan keluar mengundi yang rendah di kalangan pengundi PH. Kecenderungan itulah yang membolehkan BN memenangi Pulai Sebatang dengan 50.1 peratus undi semasa PRN 2022.
Selain tujuh kerusi yang hampir pasti dimenangi itu, dengan sokongan pengundi PN, BN juga mempunyai peluang yang lebih baik untuk kekal bertahan di Bekok, Parit Yaani, dan Yong Peng.
Tiga kerusi yang disebut tadi adalah antara 25 kerusi BN yang sebelum ini dianggap Malaysiakini berisiko dan boleh dimenangi oleh PH jika PRN diadakan serentak dengan PRU ke-15.
Namun data tinjauan pendapat menunjukkan jika undi BN dan PN digabungkan, BN akan ketinggalan antara 1 dan 2 peratus di Bekok dan Yong Peng, dan mendahului dengan 54 peratus undi di Parit Yaani.
Satu-satunya harapan PH di tiga kerusi tersebut ialah dengan memastikan pengundinya keluar beramai-ramai dan pada masa sama mengelakkan penyokong PN daripada menyokong BN.
Selain itu, Tangkak – yang diwakili DAP sejak 2013 – boleh menjadi medan pertandingan yang sukar jika jumlah keluar mengundi dalam kalangan pengundi PH rendah.
Pada masa sama bukanlah semua keadaan di Johor tidak memihak kepada PH.
Kecuali gabungan itu berdepan dengan penyusutan undi yang drasatik. DAP berkemungkinan besar akan mengekalkan kerusi DUN Bentayan, Penggaram dan Mengkibol, yang merupakan kawasan majoriti Cina.
[Baca berita asal]





