Jika bola sepak menjadi sukan kegemaran dunia, bir mungkin menjadi rakan sepasukan kegemarannya. Sejak Piala Dunia 2026 bermula pada 11 Jun, peminat meminum jauh lebih banyak bir berbanding air di stadium, menurut Fifa.
Angka kejohanan menunjukkan 2.8 juta bir terjual - hampir tiga kali ganda berbanding hampir satu juta botol air yang dibeli. Peminat juga menghabiskan 300,000 sosej.
Memetik agensi berita Jerman DPA, Bernama melaporkan bahawa kejohanan yang diperluaskan itu juga mencipta rekod baru kehadiran dan gol semasa peringkat kumpulan.
Fifa berkata 72 perlawanan peringkat kumpulan menarik 4,644,549 penonton, mengatasi rekod sebelum ini iaitu 3,587,538 pada Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, kejohanan itu hanya menampilkan 24 pasukan dan 52 perlawanan, iaitu separuh daripada bilangan pasukan, dan jumlah perlawanan yang jauh lebih sedikit berbanding edisi 48 pasukan semasa yang dianjurkan oleh AS, Kanada dan Mexico.
Sebab itu, kejohanan 1994 masih mendahului dari segi purata kehadiran, dengan 68,991 peminat bagi setiap perlawanan berbanding 64,508 setakat tahun ini.
Gol juga rancak dicatat. Sebanyak 215 gol dijaringkan dalam peringkat kumpulan dengan purata tiga gol setiap perlawanan - tertinggi dalam sejarah Piala Dunia, kata Fifa.
Sebagai perbandingan, Piala Dunia 2022 di Qatar menghasilkan 179 gol dalam 64 perlawanan, dengan purata 2.8 gol setiap perlawanan.
Kejohanan itu juga mencapai mercu tanda simbolik.
Daripada 999 pemain yang digunakan oleh 48 pasukan yang mengambil bahagian, kapten Kanada Alphonso Davies menjadi pemain ke-1,000 kejohanan apabila dia masuk sebagai pemain gantian dalam kemenangan pasukannya ke atas Afrika Selatan.
Di luar stadium, festival peminat rasmi di ketiga-tiga negara tuan rumah menyambut lebih 5.5 juta pengunjung, yang mengambil lebih dua juta minuman beralkohol dan hampir dua millon minuman ringan.
Iran lepas geram
Dalam perkembangan yang serius, Iran melepaskan geram sebelum pulang terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai layanan "tidak adil dan tiada semangat kesukanan" ketika mereka meninggalkan Piala Dunia.
Keputusan seri 1-1 pada Sabtu menentang Mesir, menyaksikan gol Iran dibatalkan selepas semakan VAR yang lama, tidak mencukupi untuk Iran layak ke peringkat kalah mati, sekali gus menamatkan penampilan kejohanan yang menyaksikan mereka kerap merungut tentang pelbagai isu di tengah-tengah konflik negara mereka dengan AS.
Pasukan itu sepatutnya berpangkalan di Arizona tetapi berpindah ke Tijuana, Mexico, dan berdepan beberapa sekatan perjalanan bagi perlawanan mereka di AS.
Dalam kenyataan ketika pulang ke tanah air, Persekutuan Bola Sepak Iran Iran (FFIRI) mengucapkan terima kasih kepada media kerana membuat liputan tentang situasi mereka.
"Terima kasih atas profesionalisme, sokongan anda, dan kerana membuat liputan bukan sahaja perjalanan sukan pasukan kami tetapi juga layanan tidak adil dan tidak kesatria yang dialami oleh delegasi kami sepanjang penginapan kami," menurut kenyataan itu.
"Komitmen anda untuk melaporkan fakta dengan tepat dan berintegriti amat bermakna bagi kami.
"Kami juga ingin merakamkan penghargaan setinggi-tinggnya kepada penduduk Mexico yang hebat, terutamanya bandar Tijuana yang indah dan penduduknya yang baik hati serta mesra.
“Anda menyambut kami dengan kemurahan hati dan layanan mesra yang tulen, membuatkan kami berasa seperti di rumah sendiri. Meninggalkan Tijuana benar-benar sukar bagi kami semua."
Pusat panggilan judi ditumpaskan
Di Malaysia, polis menumpaskan dua pusat panggilan yang terlibat dalam aktiviti pertaruhan bola sepak di Gelugor dan Butterworth, serta menahan sembilan individu.
Ketua Polis Pulau Pinang Dennis Lim Kwang Keng berkata serbuan itu adalah sebahagian daripada Op Soga XI dari 11 Jun hingga 19 Julai bagi membendung aktiviti sedemikian di seluruh negeri.
Katanya, dalam serbuan pertama pada 26 Jun di sebuah unit kondominium di The Light Collection 1, Gelugor, polis menahan empat individu, terdiri daripada seorang wanita tempatan dan tiga lelaki warga asing berumur antara 29 dan 44 tahun.

Siasatan mendapati sindiket menggunakan premis itu sebagai pusat panggilan untuk menguruskan akaun pelanggan, memantau transaksi dan mempromosikan pertaruhan bola sepak dalam talian melalui laman web 137.com.
Dia berkata polis turut merampas beberapa komputer, telefon bimbit dan pelbagai perananti elektronik yang digunakan dalam operasi haram itu semasa serbuan.
Lim berkata dalam serbuan kedua, yang dijalankan semalam di sebuah unit kondominium di Marminton Homes, Butterworth, polis menahan lima lelaki tempatan berumur antara 27 dan 41 tahun.
Dia berkata sindiket itu menjalankan pertaruhan bola sepak Piala Dunia melalui laman web Nova88, dengan menggunakan kediaman berkenaan sebagai pusat panggilannya.
"Modus operanandi sindiket adalah menggunakan premis kediaman sebagai pusat panggilan untuk menguruskan akaun pelanggan, menerima dan memantau pertaruhan bola sepak dalam talian, serta menyediakan sokongan pelanggan menggunakan komputer dan telefon yang disambungkan ke platform perjudian.
"Semasa serbuan, kami merampas enam komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem internet dan pelbagai peralatan komputer yang digunakan dalam aktiviti pertaruhan," katanya.
Lim berkata semua suspek direman sehingga 1 Julai untuk membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Dia berkata setakat ini, bawah Op Soga XI, polis Pulau Pinang melakukan 21 serbuan, menahan 28 individu dan merampas wang tunai RM8,935, bersama pelbagai peralatan yang digunakan dalam aktiviti perjudian dalam talian.





