Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak kerajaan supaya mengarahkan SPRM, polis dan Jabatan Peguam Negara agar mempercepatkan proses pendakwaan kes rasuah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan.
Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif berkata, tindakan mempercepatkan pendakwaan kes yang dikenal pasti penting bagi memastikan hanya calon berintegriti layak bertanding pada pilihan raya akan datang.

Mengulas desakan parti-parti politik, khususnya Umno dan PAS yang mahukan PRU-16 diadakan lebih awal daripada tempoh mandat lima tahun, Shahrulufti, mempersoalkan sama ada ia benar-benar demi kepentingan rakyat atau sekadar strategi politik.
“Putra menyelami dan mengkaji dengan mendalami gesaan PAS dan Umno kenapa dua parti ini mengesa diadakan PRU16 lebih awal.
“Gesaan ini menimbulkan persoalan besar: adakah mereka cuba mengelakkan isu yang sedang membelenggu kepimpinan mereka?” soalnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, tindakan mempercepatkan proses pendakwaan terhadap kes-kes yang telah dikenal pasti akan memastikan calon-calon yang berintegriti sahaja layak bertanding.
“Rakyat tidak dikelirukan dengan slogan politik penyatuan ummah tapi sebenarnya untuk menyelamatkan mereka yang korup dan kaki sakau,” katanya.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi hari ini dipetik sebagai berkata, pilihan raya awal bertujuan bagi membolehkan kerajaan Persekutuan memperoleh mandat baharu daripada pengundi.
"Pada hemat saya, kalau pilihan raya umum diadakan lebih awal, itu lebih baik. Jadi, mandat rakyat dapat kita peroleh.
"Tetapi andainya jika penggal ini sehingga penghujung tempoh atau jeda waktunya, maka kita juga bersedia menghadapinya," katanya.
Mengulas lanjut, Shahrulufti berkata, Perlembagaan menetapkan pilihan raya diadakan setiap lima tahun, namun perdana menteri mempunyai budi bicara menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat lebih awal.

Shahrulufti turut mengingatkan rakyat supaya menilai sendiri situasi politik dan tidak membiarkan imej agama atau slogan politik menutup persoalan rasuah serta salah guna kuasa.
“Politik mesti berpaksikan kejujuran, bukan kepura-puraan. Cukuplah menang sorak kampung tergadai yang bertali arus dengan isu-isu rasuah dan salah gunakuasa,” katanya lagi.





