MUKTAMAR PAS | Walak (taat) kepada kepimpinan dan parti terus menjadi peringatan penting kepada ahli dan penyokong PAS betapa ia menjadi resipi kemenangan.
Perwakilan PAS Kelantan, Mohd Asri Daud, menegaskan dalam keadaan sekarang ahli dan penyokong parti itu perlu memperteguh sifat tersebut walaupun mungkin berdepan dengan persepsi negatif.
Dengan itu, katanya, semua keputusan yang dibuat pucuk pimpinan dapat diterima sepenuhnya tanpa mempedulikan gelaran yang diterima.
Akhirnya, tambah Mohd Asri, mereka akan diberikan “kemenangan” daripada Allah.
"Walaupun orang menggelar kita walaun, menggelar kita dengan macam-macam gelaran, tapi hakikatnya biarlah gelaran itu pada akhirnya menjadi kenyataan bahawa kita orang yang ditarbiah yang taat, yang walak kepada seluruh keputusan yang ditetapkan oleh kepimpinan dan parti kita.
"Insya-Allah, Allah akan beri kemenangan kepada kita hasil daripada ketaatan dan walak ini," katanya.
Ketua Penerangan PAS Kelantan merangkap exco agama negeri itu berkata demikian semasa membahaskan ucapan dasar presiden sempena Muktamar PAS ke-72 di Kota Bharu, hari ini.
Dalam ucapan sama Mohd Asri turut menyoroti pencapaian pentadbiran PAS di negeri Serambi Mekah itu sejak 1990.
Ketika ini, katanya, kerajaan Kelantan bergerak dengan agenda penyelesaian Islam sebagai keutamaan.

"Kelantan alhamdulillah kita bergerak dengan penyelesaian Islam, meletakkan agenda Islam sebagai keutamaan, sebab itu janji kita.
"Setelah 16 seksyen daripada Enakmen Jenayah Syariah telah pun ‘terburai’ tetapi akhirnya baru-baru ini Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan Syariah digubal semula dan diluluskan dengan sebulat suara,” katanya.
Adun Demit itu juga menambah, usaha mereka untuk melaksanakan Islam sebagai “penyelesaian” kepada masalah yang ada sudah dilaksanakan sepenuhnya.
Pada masa sama dia memberikan bayangan bahawa usaha mereka nanti turut sampai ke seluruh negara.
"Insya-Allah usaha-usaha untuk menjadikan agenda penyelesaian Islam sebagai keutamaan akan melebar seluruhnya ke negeri-negeri lain sehingga kita masuk Putrajaya dengan Islam," kata Mohd Asri.





