Bersatu menegaskan akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Pengesahan itu dibuat Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, yang menjelaskan parti itu hanya menunggu jemputan mesyuarat daripada Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tun Faisal berkata tiada masalah untuk Bersatu menggunakan logo berkenaan kerana parti itu masih merupakan anggota PN.
"Bersatu guna logo PN. Pengerusi PN perlu panggil mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN. Bersatu adalah anggota PN.
"Pengerusi PN lupa dia bukan Pengerusi PAS dan perlu panggil mesyuarat MT PN, mesyuarat rundingan kerusi, mesyuarat persiapan pilihan raya dan mesyuarat jawatankuasa electoral pact.
"Dia tak laksana tugas dan tidak bertanggung jawab sebab tak urus isu PN," katanya kepada Malaysiakini.

Penegasan itu dibuat ketika kemelut antara Bersatu dan PAS terus menjadi perhatian.
Pada 13 Jun lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menegaskan hubungan parti itu dengan Bersatu sudah berakhir. Abdul Hadi turut menyerahkan kepada parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu untuk menentukan sama ada mahu kekal dalam PN atau sebaliknya.
Abdul Hadi turut memaklumkan bahawa PAS bersetuju menerima kemasukan Parti Wawasan Negara ke dalam PN ketika kedudukan Bersatu dalam gabungan pembangkang itu terus menjadi perhatian.
“PAS dah bersetuju dan kita dah berpisah dengan Bersatu, jadi terpulanglah kepada dia (Bersatu) nak keluar atau nak kekal lagi, terpulang pada dialah.
“Tapi Parti Wawasan Negara (pimpinan Hamzah Zainudin) nak masuk PN tidak ada masalah,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan.

Sementara itu, bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin, Marzuki Mohamad, semalam menegaskan bahawa Majlis Presiden PN mempunyai kuasa untuk membuat ketetapan muktamad berhubung kerusi pilihan raya.
Menurutnya, Pengerusi PN tidak mempunyai kuasa mutlak dalam perkara tersebut berdasarkan Perlembagaan PN.
"Mengenai watikah calon, hanya Majlis Presiden yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan muktamad mengenai ketetapan kerusi pilihan raya yang dirujuk oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi.
"Keputusan Majlis Presiden dalam hal ini juga hendaklah dibuat secara sebulat suara. Tidak ada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang memberikan kuasa mutlak kepada Pengerusi PN untuk membuat ketetapan kerusi pilihan raya dan memberikan watikah calon," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.





