Polis menahan seorang lelaki kerana memiliki mercun dan bunga api dianggar bernilai RM90,000 di sebuah rumah di Taman Bestari, Kuala Nerus di Kuala Terengganu petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira tiga petang.
"Pemeriksaan dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu menemukan 247 kotak mengandungi pelbagai mercun dan bunga api di rumah itu.
"Lelaki terbabit mengaku terlibat dalam perniagaan mercun tetapi tidak pernah memiliki lesen atau membuatt permohonan pada polis," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dia berkata lelaki itu yang memiliki enam rekod lampau berkaitan dadah mengaku membeli bekalan daripada pembekal di Selangor, Selasa lepas.
Kes katanya sedang disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
-Bernama





