Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) komited memastikan perlumbaan Grand Prix (GP) Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain 2026 dari 2 hingga 4 Oktober mengikut piawaian tertinggi F1, kata Menterinya Dr Mohammed Taufiq Johari.
Beliau berkata perbincangan mendalam berhubung kerjasama ini diadakan antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain dan F1 setelah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan KBS menerima makluman awal berkenaan penganjuran perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu.
Katanya, penganjuran perlumbaan yang menggantikan GP Bahrain itu dijangka terus memperkukuh ekosistem dan pembangunan sukan permotoran negara dan meningkatkan lagi reputasi tanah air sebagai destinasi utama penganjuran acara sukan antarabangsa serta merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pelancongan sukan.
“KBS menyambut baik dan mengalu-alukan pengumuman rasmi Formula 1 berhubung penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di SIC.
“KBS menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa atas hubungan akrab dan kepercayaan antara kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Mohammed Taufiq berkata, kementerian itu turut menghargai hubungan erat serta kerjasama kukuh antara Perdana Menteri dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa yang memainkan perananan penting dalam merealisasikan penganjuran perlumbaan itu di Malaysia.
Katanya, persetujuan yang dicapai ini mencerminkan hubungan persahabatan yang utuh antara Malaysia dan Bahrain, di samping memperkukuh kedudukan negara sebagai hab penganjuran acara sukan bertaraf dunia.
“Litar Antarabangsa Sepang memiliki rekod cemerlang selaku tuan rumah perlumbaan Formula 1 selama 19 tahun, iaitu dari 1999 hingga 2017, dan penganjuran kali ini pastinya dapat mengubat kerinduan peminat sukan,” katanya.
Terdahulu, F1 dalam kenyataan mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah GP Formula 1 Gulf Air Bahrain di SIC sekali gus buat kali pertama dalam sejarah F1 sesuatu perlumbaan dipindahkan ke negara lain selepas dibatalkan.
F1 memaklumkan acara berkenaan, yang tertakluk kepada persetujuan akhir dan kelulusan rasmi termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia, akan dikenali sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix, di Malaysia.
Menurut kenyataan itu, persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain membolehkan perlumbaan itu diteruskan selepas dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
GP Bahrain sepatutnya berlangsung di Litar Antarabangsa Bahrain pada tarikh yang sama namun dibatalkan susulan konflik geopolitik.
SIC menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 berikutan peningkatan kos penganjuran serta fi pelesenan.





