Pilihan Raya N Sembilan | Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menepis menolak dakwaan seorang pemimpin Pemuda Umno bahawa terdapat kumpulan dalam parti itu cuba melemahkan kempennya untuk kerusi Chennah.
"Tidak, itu tidak betul. Itu langsung tidak betul. Itu hanya peranang psikologi saja (oleh seteru Pakatan Harapan).
"(Penasihat DAP) Lim Guan Eng sendiri ada turun pada hari penamaan calon memberikan sokongan kepada saya. Jadi tak ada apa-apa kebenaran kepada (dakwaan) itu dan saya berterima kasih sebab jentera DAP memang berada di sini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara kempen di Kampung Sungai Rotan awal petang ini.
Menteri pengangkutan itu diminta mengulas mengenai catatan media sosial oleh Ahli Exco Pemuda Umno, Fadzmel Fadzil.
Setiausaha akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi itu pagi ini mendakwa terdapat percubaan oleh "Dinasti Lim" untuk membuat Loke kehilangan kerusi Chennah.
Difahamkan bahawa "Dinasti Lim" merujuk kepada kem dalam DAP yang bersekutu dengan Lim.

Loke, yang menyandang Adun Chennah selama tiga penggal, akan mempertahankan kerusi itu daripada John Siow Kong Choon dari BN.
Sementara itu, bercakap tentang kempennya, pemimpin DAP itu mengakui bahawa dia menghadapi tugas yang sukar untuk meyakinkan pengundi Melayu.
Menurutnya, terdapat usaha berterusan oleh pesaing PH untuk menakutkan orang Melayu agar tidak menyokong gabungan itu.
Loke berkata pesaing tersebut dikatakan telah menjalankan 'kempen bisik-bisik' untuk membuat penduduk kampung percaya bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa politik mereka kepada orang Cina jika PH menang di Negeri Sembilan.
"Itu saja sentimen yang mereka mainkan. Jadi yang ini yang kita perlu perjelaskan dengan lebih banyak, yang perlu kita perhebatkan penerangan kita kepada akar umbi kerana memang saya rasa ada sebahagian penduduk kampung yang terjejas dengan sentimen seperti ini," katanya.
Chennah ialah kerusi yang mempunyai pengundi daripada pelbagai kaum dengan sejumlah 14,422 pengundi. Sebanyak 48.49 peratus adalah Melayu, diikuti oleh Cina (42.57 peratus), India (dua peratus), dan lain-lain (6.93 peratus).
Loke berkata dia akan cuba menjelaskan kepada orang Melayu bahawa tiada asas untuk tuduhan sedemikian kerana perlembagaan negeri Negeri Sembilan dengan jelas menyatakan bahawa hanya orang Melayu dan Islam sahaja yang boleh menjadi menteri besar negeri.
Dia menegaskan bahawa PH telah mentadbir negeri ini selama kira-kira lapan tahun dan ia sentiasa dipimpin oleh orang Melayu.
Sementara itu, Loke turut mengulas kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor bahawa bukan Melayu mempunyai negara lain, selain Malaysia.
Dia berkata adalah malang melihat komen sedemikian dibuat oleh seorang pemimpin dan ia menunjukkan warna sebenar PAS.
"Kita dah duduk di Malaysia. Negara kita dah merdeka hampir 70 tahun. Kita sepatutnya meraikan semua rakyat kita sebagai anak Malaysia.
"Walaupun kita ada pelbagai keturunan, pelbagai kaum, pelbagai agama, memang kedudukan orang Melayu termaktub dalam perlembagaan. Itu tak pernah dipersoalkan.
"Tetapi orang Cina, orang India dah jadi warganegara dah bergenerasi. Saya ni generasi ketiga dah. Saya tak ada tempat di negara China. Kalau pergi China saya kena pakai pasport Malaysia. Jadi tempat saya, negara saya ialah Malaysia," kata Loke.
Ahli Parlimen Seremban itu menambah bahawa kenyataan Sanusi adalah satu penghinaan kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum, dengan mengatakan ia seolah-olah mempersoalkan kesetiaan orang Cina dan India kepada negara.
Loke berkata orang ramai harus dapat melihat bahawa kenyataan itu mencerminkan bagaimana pemimpin PAS berfikir dan hala tuju yang akan mereka bawa jika diberi mandat untuk mentadbir.
Sanusi dalam satu ceramah bersama BN-PN tiga hari lalu menggambarkan bahawa "Tanah Melayu" adalah satu-satunya tanah bagi orang Melayu, manakala kaum lain mempunyai negara lain.
Bagaimanapun, selepas menerima kecaman, Sanusi mengancam untuk membuat laporan polis dan tindakan undang-undang lain terhadap mereka yang disifatkan memanipulasi kenyataannya.





