Dua wakil rakyat DAP menggesa MCA menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Muhammad Sanusi Md Nor, yang menurut mereka menggambarkan masyarakat Cina dan India di Malaysia sebagai warga asing di negara sendiri.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin turut mempersoalkan sikap berdiam diri Presiden MCA Wee Ka Siong selepas Presiden MIC SA Vigneswaran menolak kenyataan Sanusi serta menggesa BN mempertimbangkan semula kerjasama pilihan rayanya dengan PN.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan Sanusi ketika berceramah di Jempol, menyebut orang Melayu tidak mempunyai tanah air lain manakala kaum India, Cina, Kemboja dan Thai mempunyai negara yang dikaitkan dengan kelompok etnik masing-masing.
“Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand.

"Melayu di mana? Melayu di sini saja," kata Sanusi di hadapan lebih 300 hadirin.
Dia kemudian menyeru PAS dan Umno supaya kembali bersatu demi mempertahankan bangsa dan agama.
Ramkarpal berkata kenyataan itu tidak sensitif terhadap masyarakat bukan Melayu serta memperlihatkan sikap tidak menghormati semangat saling menghormati antara pelbagai komuniti di Malaysia.
Dia berkata kenyataan itu juga dibuat tidak lama selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan pada 16 Julai yang didakwa menggambarkan masyarakat bukan Melayu sebagai “pendatang”.

“Tidak dapat dinafikan retorik perkauman seperti itu mesti dikecam sekeras-kerasnya kerana ia tidak mempunyai tempat dalam Malaysia yang berbilang budaya dan kaum.
“Jika dibiarkan tanpa tindakan, ia berpotensi mencetuskan ketegangan kaum di negara ini,” kata Ramkarpal dalam kenyataan hari ini.
Ramkarpal, yang juga pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP, menggesa MCA dan MIC menyatakan pendirian mereka berhubung kenyataan PAS itu, termasuk sama ada mereka bersedia meninggalkan BN kerana isu berkenaan.
Dia berkata gesaan Vigneswaran supaya BN bertanding secara bersendirian tidak mengurangkan kesan buruk yang ditimbulkan PAS, terutama apabila Umno masih belum mengecam kenyataan Sanusi.

“Sikap PAS yang terang-terangan tidak mempedulikan sensitiviti kaum, ditambah pula dengan keengganan Umno menegurnya, merupakan perkara yang amat membimbangkan.
“Ia mungkin petanda perkara yang bakal berlaku susulan pakatan baru mereka, sekurang-kurangnya di Negeri Sembilan,” katanya.
Ramkarpal turut menggesa pihak berkuasa segera menyiasat Sanusi sambil memberi amaran kegagalan bertindak boleh menggalakkan kenyataan serupa sepanjang kempen pilihan raya serta menjejaskan hubungan kaum.
Secara berasingan, Chong mempersoalkan sebab Wee dan barisan kepimpinan MCA terus berdiam diri selepas Vigneswaran menolak dakwaan Sanusi serta menegaskan masyarakat Cina dan India di Malaysia bukan warga asing.

“Namun, Presiden MCA Wee Ka Siong dan seluruh kepimpinan MCA terus membisu dengan begitu ketara.
“Di manakah suara Wee Ka Siong apabila masyarakat Cina Malaysia diberitahu bahawa kononnya China ialah negara mereka,” kata Chong dalam kenyataan hari ini.
Chong berkata MCA gagal mempertahankan komuniti yang didakwanya diwakili, walaupun kenyataan itu dibuat dalam ceramah bersama BN-PN.
Dia berkata Wee baru-baru ini menyatakan kerjasama MCA dengan PN bukan tanpa syarat dan parti itu akan menentang apa-apa perkara yang menjejaskan hak serta kepentingan masyarakat majmuk Malaysia.

“Sanusi kini memberinya ujian yang paling jelas.
“Jika Wee masih enggan mengecam Sanusi, dakwaannya bahawa sokongan MCA terhadap PN ‘bukan tanpa syarat’ tidak lebih daripada retorik politik kosong,” katanya.
Chong berhujah sikap membisu MCA memberi perlindungan politik kepada Sanusi dan menyamai perbuatan merestui usaha menggambarkan masyarakat Cina Malaysia seolah-olah warga negara lain.
Dia berkata MCA tidak boleh meraih manfaat daripada kerjasama pilihan raya dengan PAS sambil cuba menjauhkan diri daripada retorik perkauman yang digunakan pemimpin parti itu.

“Vigneswaran telah menunjukkan bahawa seorang pemimpin parti komponen BN boleh bersuara dengan jelas dan tegas.
“Jika MIC boleh mengambil pendirian berprinsip, apakah alasan MCA?” soalnya.
Chong seterusnya mencabar Wee menyatakan jika MCA bersetuju masyarakat Cina Malaysia mempunyai China sebagai negara lain, jika parti itu mengecam kenyataan Sanusi serta sama ada ia akan menuntut permohonan maaf dan penarikan balik kenyataan berkenaan atau tidak.
Dia turut menggesa MCA menyokong tuntutan MIC supaya BN mengkaji semula kerjasamanya dengan PN.

“Jika MCA terus berdiam diri, rakyat Malaysia berhak membuat kesimpulan bahawa percaturan pilihan rayanya dengan PAS lebih penting kepada pemimpin parti itu berbanding maruah dan kewarganegaraan masyarakat Cina yang didakwanya diwakili (parti itu),” katanya.
Chong menegaskan Malaysia merupakan satu-satunya negara bagi masyarakat Cina Malaysia, yang bukan warga asing mahupun pendatang di tanah kelahiran mereka.
“Wee Ka Siong dan MCA mesti membuat pilihan. Mereka boleh mempertahankan maruah masyarakat Cina Malaysia atau terus memberikan perlindungan politik kepada Sanusi.
“Mereka tidak boleh melakukan kedua-duanya,” katanya.

[Baca berita asal]





