32 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 29, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Polis siasat MP Jempol berhubung ceramah kempen

    Shopee Sale

    Polis membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Jempol, Shamsulkahar Deli susulan ucapannya semasa kempen pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan.

    Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad berkata Shamsulkahar akan disiasat susulan laporan oleh seorang lelaki berusia 55 tahun yang tidak berpuas hati dengan hantaran video menerusi media sosial yang memaparkan ucapan ahli politik itu ketika berkempen.

    “Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4(A)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.

    "Sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan secara tgas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi," katanya lagi.

    Menurut Alzafny, pengadu mendakwa ucapan berkenaan mengandungi kandungan yang tidak menyenangkan.

    Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan sengaja membuat, mengedarkan atau menerbitkan kenyataan, khabar angin atau laporan yang mungkin menimbulkan ketakutan atau kegentaran dalam kalangan orang awam, atau mendorong seseorang melakukan kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam.

    Seksyen 4(A)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 pula merangkumi kesalahan berkaitan penerbitan atau penyebaran kenyataan atau dakwaan palsu dengan niat mempengaruhi keputusan pilihan raya atau pengundi.

    Sementara itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, termasuk penghantaran komunikasi yang dianggap lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.

    MENARIK:  Sambut raya Cina, Thaipusam puluhan tahun tiada masalah - PM

    Walaupun polis tidak menyatakan secara terperinci bentuk kesalahan yang disiasat, ia dipercayai berkaitan ucapan Shamsulkahar yang didakwa mengaitkan DAP dengan penyebaran gambar suntingan yang dianggap menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

    Beberapa pemimpin DAP, termasuk Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer membuat laporan polis semalam berhubung kenyataan terbabit.

    Rayer dilaporkan FMT mendakwa Shamsulkahar merujuk kepada gambar yang disunting itu dan menimbulkan gambaran palsu seolah-olah DAP bertanggungjawab menghasilkannya.

    Dia menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai palsu, berunsur fitnah dan dibuat dengan niat jahat, selain menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung perkara itu.

    Bagaimanapun, pemimpin Umno itu menafikan mengaitkan DAP dalam ucapannya dan berkata dia sekadar membangkitkan isu yang pernah berlaku sebelum ini, termasuk teguran Sultan Sharafuddin ketika itu.

    “Ia kenyataan biasa melibatkan parti politik. Saya tidak menyebut nama mana-mana individu.

    “Saya hanya membangkitkan isu yang telah disentuh Sultan Selangor serta sikap biadab yang dikaitkan dengan DAP,” katanya seperti dipetik FMT.

    Selain siasatan terhadap Shamsulkahar, polis turut membuka dua lagi kertas siasatan semalam susulan sembilan laporan yang dibuat berhubung dakwaan salah laku sepanjang PRN itu.

    Ia membabitkan dakwaan pembelian undi yang menyasarkan penyokong Pakatan Harapan serta perbuatan merosakkan kain rentang kempen yang memaparkan seorang ahli Dewan Undangan Negeri Harapan di Port Dickson.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah