Edisi khas segmen #SkoolXTRA mengimbau kembali perjalanan selebriti ketika berada di bangku sekolah, termasuk sisi mereka yang mungkin belum pernah diketahui oleh peminat.
Untuk edisi #SkoolXTRA minggu ini, pelakon, Daniel Fong berkongsi kenangan detik lucu zaman persekolahannya apabila luahan perasaannya ditolak dalam tempoh hanya beberapa saat.
Artikel Berkaitan: #TriviaXTRA: Pernah Dibuli, Tak Ada Kawan Sebab Gem*k, Ini 4 Fakta Menarik Tentang Daniel Fong
Artikel Berkaitan: POV XTRA: Daniel Fong Akui Insecure Dengan Bibir Sendiri, Pernah Hilang Keyakinan Sebagai Pelakon
Pengawas sekolah yang nakal
Daniel mendedahkan dia pernah dilantik sebagai pengawas ketika bersekolah menengah. Bagaimanapun, dia mengakui bukanlah seorang pengawas yang sentiasa mengikut peraturan.
Saya seorang pengawas ketika di sekolah menengah, tetapi saya pengawas yang nakal. Saya suka melepak bersama kawan-kawan dan kadang-kadang kami akan ponteng kelas.
Saya belajar di sekolah swasta berbahasa Inggeris. Jadi, ketika di sekolah menengah, saya tidak begitu fasih bercakap dalam bahasa Cina atau bahasa Melayu.
Subjek kegemaran saya ialah bahasa Inggeris kerana itu yang paling mudah untuk saya. Saya juga sukakan Matematik.
Luah perasaan di sekolah ketika Hari Kekasih
Mengimbas kembali kisah cinta zaman remajanya, Daniel berkata dia tidak pernah memberikan surat cinta kepada sesiapa.
Namun, dia pernah memberanikan diri meluahkan perasaan kepada gadis yang disukainya ketika berusia 16 tahun.
Menurut Daniel, dia mengambil masa kira-kira enam bulan untuk menyimpan perasaan terhadap gadis berkenaan sebelum membuat keputusan untuk berterus terang pada Hari Kekasih.
Saya tak pernah bagi surat cinta, tetapi saya pernah luahkan perasaan kepada ‘crush’ ketika berumur 16 tahun. Waktu itu saya baru sahaja berjaya menurunkan berat badan.
Pada Hari Kekasih, saya beritahu dia yang saya sukakan dia. Tetapi dalam masa satu saat, dia terus menjerit ‘no’ kepada saya sebelum pergi dari situ. Kawan-kawan saya pula hanya melihat dari jauh.
Agak lama juga saya sukakan dia, lebih kurang setengah tahun
Susulan pengalaman tersebut, Daniel mengakui dia tidak pernah mempunyai teman wanita sepanjang zaman persekolahan. Hubungan percintaan pertamanya hanya bermula selepas dia melanjutkan pengajian ke kolej.
Saya tak pernah ada teman wanita ketika di sekolah menengah. Teman wanita pertama saya adalah ketika di kolej.
Aktif dalam sukan
Selain dikenali sebagai seorang pelajar yang gemar menghabiskan masa bersama rakan-rakan, Daniel juga aktif menyertai pelbagai acara sukan.
Dia pernah mewakili sekolah dalam pertandingan badminton peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD), selain mengambil bahagian dalam pertandingan renang.
Saya pernah sertai MSSD untuk badminton dan pertandingan renang sekolah. Di sekolah juga pernah ada uji bakat teater, tetapi saya tidak berjaya mendapat watak.
Saya ada menyertai kelas ucapan dan drama, tetapi hanya diberikan watak kecil. Kebanyakan aktiviti saya ketika itu lebih kepada sukan seperti larian, badminton dan renang.
Persahabatan yang tidak mengharapkan balasan
Dalam banyak-banyak kenangan zaman persekolahan, Daniel berkata momen paling bermakna adalah waktu yang diluangkan bersama rakan-rakannya.
Malah, sebahagian daripada sahabat baiknya sehingga kini merupakan individu yang dikenalinya sejak di bangku sekolah.
Kenangan kegemaran saya adalah bersama kawan-kawan. Sehingga hari ini, ada antara sahabat baik saya yang merupakan rakan sejak sekolah menengah.
Perkara terbaik ketika itu adalah sifat polos dalam persahabatan. Semua orang tidak berfikir secara terlalu realistik seperti sekarang.
Sekarang mungkin ada yang memikirkan manfaat sebelum berkawan dengan seseorang. Tetapi dahulu, semua orang lebih ikhlas, tidak terlalu banyak berfikir dan hanya menikmati kebahagiaan yang tulen.
The post #SkoolXTRA: ‘Dia Jerit ‘No’ Dalam Masa Satu Saat’ – Cinta Daniel Fong Pernah Ditolak ‘Crush’ Depan Rakan Sekolah first appeared on OHBULAN!.





