Kucing berbulu tebal, bermuka bulat dan mempunyai nama baka tertentu sering mencuri perhatian di media sosial.
Namun, ketika ramai melihat baka sebagai ukuran keistimewaan, Yuna pula memilih dua ekor kucing biasa yang sudah berbulan-bulan menunggu untuk diadopsi.
Artikel Berkaitan: Intan Najuwa Mohon Bantuan Orang Ramai Cari Kucing Hilang – ‘Kalau Ternampak Beritahu, Nanti Saya Bagi Reward’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Haliza Maysuri Rai Hari Jadi Kucing ‘Money’, Siap Tempah Kek Khas – ‘Dia Berharga Dalam Hidup Kami’
Kucing Kampung dari Los Angeles (LA)
Pada mulanya, Yuna hanya mahu melihat-lihat sebuah pusat adopsi kucing di Amerika Syarikat.
Namun, keputusan penyanyi itu berubah selepas mengetahui Cody dan Shiloh sudah berbulan-bulan berada di dalam sangkar kerana masih belum dipilih oleh sesiapa.
Yuna akhirnya membawa pulang kedua-duanya, sebelum berseloroh menggambarkan mereka sebagai kucing dari “Kampung LA”.
Kisah itu mungkin kedengaran ringan, tetapi ia membuka persoalan lebih besar tentang budaya memelihara haiwan hari ini.
Adakah manusia memilih kucing kerana benar-benar bersedia menyayanginya atau kerana rupa dan bakanya sesuai dipamerkan di media sosial?
Apabila kucing turut menjadi simbol gaya hidup
Tidak salah meminati kucing berbaka. Setiap baka mempunyai rupa, karakter dan keperluan penjagaan yang berbeza. Masalah hanya bermula apabila haiwan dipilih semata-mata kerana sedang popular atau dianggap mampu melengkapkan imej pemilik.
Di media sosial, kucing bermuka bulat, berbulu lebat atau berkaki pendek lebih mudah menarik perhatian. Lama-kelamaan, nama baka dan harga pembelian seolah-olah menjadi ukuran kepada nilai seekor haiwan.
Sedangkan kucing tidak memahami harga pasarannya. Ia hanya mengenali makanan, keselamatan, layanan baik dan manusia yang bersedia menjaganya.
Pilihan Yuna menjadi lebih bermakna kerana sebagai selebriti yang mampu mendapatkan pelbagai jenis haiwan peliharaan, dia memilih berdasarkan keadaan kampung yang diberi nama Cody dan Shiloh, bukannya kucing jenis berbaka mahal.
View on Threads
Kucing biasa sering menjadi pilihan terakhir
Kucing kampung atau kucing campuran tidak datang dengan sijil keturunan. Rupa mereka juga mungkin dianggap terlalu biasa kerana mudah ditemukan di kawasan perumahan, kedai makan atau tepi jalan.
Namun, ‘biasa’ pada pandangan manusia tidak bermaksud kurang bernilai.
Mereka tetap boleh menjadi manja, setia dan membentuk hubungan rapat dengan pemilik. Bezanya, kebanyakan kucing ini tidak mempunyai pemasaran, harga mahal atau penampilan yang sedang menjadi trend.
Di pusat perlindungan, haiwan dewasa atau yang kurang menonjol juga berisiko menunggu lebih lama kerana bakal pemilik sering tertarik kepada anak kucing yang lebih kecil dan comel.
PAWS Malaysia sendiri mempunyai ratusan haiwan yang menunggu rumah tetap. Haiwan yang tersedia untuk diadopsi sudah melalui proses seperti pemberian ubat cacing, vaksinasi dan pemandulan, sementara bakal pemilik akan ditemu bual bagi memastikan mereka benar-benar sesuai menjaga haiwan tersebut.
Bukan Yuna seorang yang membuka hati kepada kucing terbiar
Dalam kalangan artis tempatan, Allahyarham Adibah Noor cukup dikenali kerana kasih sayangnya terhadap kucing. Penyanyi dan pelakon itu dilaporkan memelihara lebih 40 ekor kucing serta aktif membantu dan menyelamatkan kucing jalanan. Allahyarham Adibah juga sanggup menanggung perbelanjaan makanan dan rawatan untuk haiwan di bawah jagaannya.

Pelakon, Rita Rudaini pula pernah berkongsi rutin membawa anak-anaknya memberikan makanan dan minuman kepada kucing jalanan sebelum ke sekolah. Bagi Rita, amalan itu menjadi cara untuk mengajar anak-anak berkongsi rezeki dengan makhluk lain.
Pelakon, Siti Khadijah Halim juga pernah menyelamatkan seekor kucing jalanan yang cedera parah. Pelakon itu menjaga kucing berkenaan, yang dinamakan Belang, sehingga kembali sihat dan mampu berlari.
Kisah mereka menunjukkan hubungan dengan haiwan tidak semestinya bermula daripada kedai atau pencarian baka tertentu. Kadangkala, ia bermula apabila seseorang berhenti untuk melihat haiwan yang selama ini tidak dipandang.
Pengaruh selebriti boleh mengubah pilihan masyarakat
Apa yang dipakai, dimakan atau digunakan selebriti mudah menjadi ikutan. Perkara sama boleh berlaku kepada haiwan peliharaan.
Apabila baka tertentu kerap dipamerkan oleh figura terkenal, permintaan terhadap baka itu boleh meningkat. Namun, selebriti juga boleh menggunakan pengaruh mereka untuk menunjukkan bahawa kucing jalanan dan haiwan pusat perlindungan turut layak menerima rumah yang selamat.
Kisah Yuna, Adibah Noor, Rita Rudaini dan Siti Khadijah memberikan mesej yang lebih luas daripada sekadar ‘artis sukakan kucing’. Mereka membantu mengubah tanggapan bahawa kucing biasa ialah pilihan kelas kedua.
The post Ketika Baka Jadi Simbol Status, Yuna Pilih Kucing ‘Kampung’ Yang Tidak Dipandang first appeared on OHBULAN!.





