26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, April 27, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    PN kutuk intimidasi terhadap Azmin, gesa notis ditarik balik

    Shopee Sale

    PN mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang didakwa mereka sebagai intimidasi terhadap Adun Hulu Kelang, Azmin Ali, berkaitan dengan perbahasannya dalam persidangan DUN Selangor, baru-baru ini.

    Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan berkata dia dimaklumkan bekas menteri besar Selangor itu diserahkan notis mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah dan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bagi memberikan kenyataan berhubung perbahasan berkenaan.

    "Menjadi amalan demokrasi yang matang di mana-mana negara di dunia bahawa setiap ahli-ahli parlimen mahupun Adun mempunyai kekebalan daripada sebarang pendakwaan jenayah atau tindakan sivil atas apa-apa perkara yang diucapkan atau dibahaskan di dalam dewan selagi tidak melanggari apa yang ditetapkan dalam undang-undang termasuk peraturan mesyuarat (standing order).

    "Prinsip kekebalan ini telah digariskan dengan jelas melalui Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan dan juga undang-undang tubuh negeri, khususnya Seksyen 2 dan Seksyen 3 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959," katanya dalam kenyatan media hari ini.

    Semalam Malaysiakini melaporkan Azmin enggan hadir ke balai polis seperti diminta, malah mencabar tindakan tersebut.

    Katanya peguam akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mendapatkan semakan kehakiman bagi meneliti tindakan atau keputusan polis mengeluarkan notis berkenaan.

    Terdahulu pada sidang DUN Mac lalu Azmin dilaporkan meminta kerajaan Selangor menjelaskan tindakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjual hak pembangunan PJ Sentral yang dijangka memberi pulangan bernilai RM1.04 bilion kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) pada nilai RM270 juta.

    Dia turut memetik laporan The Edge pada 29 Feb lalu bahawa syarikat pemaju hartanah Tropicana Corporation Bhd memperoleh sebidang tanah pajakan di Kota Damansara dengan harga RM224 juta.

    Bagaimanapun, Pengerusi PKNS yang juga Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menepis dakwaan prestasi kewangan PKNS berada dalam keadaan teruk dan menanggung hutang sebanyak RM5.7 bilion.

    Jelas Amirudin kedudukan kewangan PKNS ketika ini adalah baik bahkan masih memperoleh keuntungan daripada pendapatan utama operasinya.

    Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata kes seumpama itu secara prinsipnya telah diulangi dalam keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas kes Yang di-Pertua Dewan Rakyat & Lain-lain melawan Gobind Singh Deo (ahli parlimen Puchong ketika itu).

    MENARIK:  Akmal, Hilman akan didakwa kerana 'mengancam ketenteraman awam'

    Tegasnya, adalah jelas bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh seorang ahli dewan perundangan perlu dilaksanakan tanpa sebarang kacau ganggu atau pengaruh tidak wajar.

    "Difahamkan Datuk Seri Azmin selaku Adun dan juga ketua pembangkang DUN Selangor telah membangkitkan beberapa isu berkenaan dengan pentadbiran kerajaan Selangor termasuk pengurusan PKNS yang dipengerusikan menteri besar.

    "Lantaran daripada itu dia dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis atas isu yang ditimbulkan.

    "Saya menegaskan bahawa tindakan yang dilakukan, bahkan yang kelihatan direstui secara tidak langsung oleh kerajaan Madani ini, bukan saja bertentangan dengan prinsip asas demokrasi yang diterima pakai di seluruh dunia bahkan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

    "Ia adalah tindakan penakut dan terdesak untuk menutup isu-isu kepincangan pentadbiran yang ditimbulkan.

    "Kerajaan Madani kini ibarat 'takut dengan bayang-bayang sendiri' dan bukan saja gagal berwacana secara sihat dan profesional bagi menjawab isu, malah mengambil tindakan draconian bagi menyepikan kritikan dan menyekat kebebasan bersuara," dakwanya.

    Tambah Takiyuddin lagi, tidak pernah berlaku dalam sejarah demokrasi di negara ini, seorang Adun yang dipilih oleh rakyat di ambil tindakan atas apa yang diucapkannya untuk memenuhi tanggungjawabnya di dalam Parlimen atau DUN.

    "Saya dengan ini mendesak agar sebarang intimidasi, kacau ganggu dan pengaruh tidak wajar termasuk notis dibawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah yang telah dikeluarkan kepada Datuk Seri Azmin dihentikan dan ditarik balik serta merta," katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah