PRK | Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan menasihatkan Perikatan Nasional (PN) supaya “jangan bermimpi” merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.
"Kami PH mengalu-alukan sesiapa sahaja bertanding di PRK DUN KKB. Dan kami lihat ada beberapa pemimpin India sanggup bekerjasama dengan PN khususnya PAS.
"Tapi, nasihat saya kepada mereka: jangan mimpi rampas KKB. Ini kerana rekod pencapaian mendiang Lee Kee Hiong akan menjadi penentu kejayaan PH pada PRK ini," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang berkata bahawa PN berpotensi menawan kerusi DUN yang dimenangi DAP selama tiga penggal berturut-turut.
Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee, pada 21 Mac lepas.
Lee, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baharu di bawah parlimen Hulu Selangor sejak 2013 bagi tiga penggal berturut-turut.
Pada 4 Apr, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu akan diadakan pada 11 Mei manakala hari penamaan calon pula pada 27 April.
Tarikh undi awal pula ditetapkan pada 7 Mei depan.
SPR turut menetapkan tempoh 14 hari untuk berkempen.
Mengulas lanjut, Sathia yang juga timbalan setiausaha agung PKR berkata bahawa dia tetap optimis dengan peluang mengekalkan DUN berkenaan berdasarkan prestasi semasa kerajaan negeri.
"Saya tidak menolak masih ada rakyat di Hulu Selangor termakan dengan propaganda yang dimainkan oleh PN.
"Namun, saya percaya kempen 14 hari ini akan menjadi medan terbaik kepada mereka memahami usaha-usaha kerajaan pusat dan negeri antaranya dari segi soal kebajikan, pembangunan infrastruktur dan modal insan," katanya.
Katanya, Kuala Kubu Baharu yang dikenali sebagai 'kerusi campur' dengan pecahan pengundi Melayu (46%), Cina (30%) dan India (18%) dan lain-lain (6%) memberi kelebihan kepada PH.
Seramai 40,226 pengundi layak mengundi pada PRK ini.
Daripada jumlah itu, seramai 39,362 orang adalah pengundi biasa, 238 orang tentera dan pasangan, 625 orang polis dan seorang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.





