Perdana Menteri Anwar Ibrahim selamat menjalani prosedur pembezahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut, menurut pasukan perubatannya.
Dr Asri Rangga Abdullah Ramaiah, yang mengetuai pasukan perubatan itu, berkata prosedur berkenaan berjalan lancar dan dikendalikan oleh sekumpulan pakar.
“Beliau kini sedang menjalani rawatan fisioterapi serta berada di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun X Anwar.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa Anwar, yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-79 hari ini, menjalani pemeriksaan kesihatan rutin selama dua hari.
“Marilah kita mendoakan agar segala urusan pemeriksaan serta prosedur Perdana Menteri dipermudahkan dan dikurniakan keafiatan yang berpanjangan agar dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa dalam masa terdekat, insya-Allah,” kata setiausaha akhbar kanan Anwar, Tunku Nashrul Abaidah dalam satu kenyataan tanpa mengulas lanjut tentang pemeriksaan dan prosedur tersebut.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa dia akan mempengerusikan mesyuarat kabinet yang akan datang sewaktu ketiadaan Anwar.
Pengerusi BN itu berkata Anwar memaklumkan kepada dirinya tentang rawatan pembezahan kecil yang akan dijalani oleh perdana menteri itu.
“Beliau telah memberitahu saya bahawa sepanjang ketiadaannya, beliau minta saya mempengerusikan mesyuarat kabinet,” katanya kepada media di Gerik, hari ini.
Semalam, Anwar melawat Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob, yang kedua-dua mereka menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Fadillah dijadualkan menjalani pembezahan pintasan jantung.





