Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar berkata isu berkaitan Tabung Haji (TH) perlu dibincangkan secara menyeluruh di Dewan Rakyat dengan kehadiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana ia melibatkan kepentingan umat Islam dan para pendeposit.
Jelasnya, atas alasan itu sebahagian ahli parlimen PN, khususnya daripada PAS dan Wawasan, memboikot sidang khas mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH hari ini.
"Pendirian ini bukan soal enggan membahaskan isu Tabung Haji. Sebaliknya, ia berkaitan dengan keperluan memastikan satu isu yang begitu besar kepentingannya kepada umat Islam dan para pendeposit Tabung Haji dibincangkan dalam sidang khas yang benar-benar bersifat substantif dengan kehadiran perdana menteri sendiri.
"Tabung Haji ialah amanah besar umat Islam. Maka, segala persoalan berkaitan pengurusan, keputusan pelaburan, kerugian serta dapatan RCI perlu dijelaskan secara terbuka dan bertanggungjawab.

"Kita mahu kebenaran ditegakkan, segala persoalan dijawab dan kepentingan para pendeposit Tabung Haji terus dipelihara. Ini soal amanah. Bukan soal politik semata-mata," katanya pada satu hantaran di Facebooknya.
Terdahulu, ahli parlimen PN daripada PAS dan Wawasan bertindak keluar beramai-ramai dari Dewan Rakyat selepas permintaan mereka supaya sidang khas yang berlangsung hari ini ditangguhkan ditolak.
Mereka mengambil keputusan itu berikutan ketiadaan Anwar, yang sedang bercuti sakit dan menjalani rawatan.
Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan pada awalnya membangkitkan Peraturan Mesyuarat bagi memohon supaya sidang khas berkenaan ditangguhkan susulan ketidakhadiran Anwar.

"Kami tidak mengikuti perbahasan ini di pihak pembangkang," kata Takiyuddin sebaik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan bangun untuk memulakan sesi penerangan mengenai laporan RCI TH.
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memutuskan supaya sidang khas itu diteruskan seperti yang dijadualkan walaupun tanpa kehadiran perdana menteri.
Ahli parlimen PN daripada Bersatu pula memilih untuk kekal berada di dalam Dewan Rakyat.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin turut mengambil bahagian dalam perbahasan laporan RCI TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Samsuri berkata pemimpin PN pada sidang media mereka telah menegaskan bahawa persidangan yang sepatutnya memberi tumpuan kepada perbahasan laporan RCI itu akhirnya menjadi sesi penerangan menteri.
"Sidang khas yang sepatutnya menjadi ruang untuk membahaskan laporan RCI akhirnya dilihat lebih kepada sesi penerangan menteri sedangkan persoalan-persoalan penting yang timbul daripada laporan tersebut memerlukan jawapan dan pertanggungjawaban yang lebih menyeluruh," tegasnya.
Semalam, Anwar selamat menjalani prosedur pembezahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia) dan kini masih menjalani rawatan fisioterapi.






