31.2 C
Kuala Lumpur
Tuesday, August 11, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bila Jumlah Followers Jadi Ukuran, Ellyza Azizi Akui Pernah Rasa Tidak Cukup Layak

    Shopee Sale

    Sudah berlakon secara profesional sejak usia 19 tahun dan mempunyai latar belakang teater serta pendidikan dalam seni persembahan, Ellyza Azizi mengakui masih ada satu perkara yang kadang-kadang menggugat keyakinannya sebagai pelakon.

    Bukan soal kemampuan berlakon, tetapi jumlah pengikut di media sosial.

    ARTIKEL BERKAITAN: Ellyza Azizi Tak Mahu Nama Naik Kerana Kontroversi – ‘Sekali Cerita Ada Di Internet, Akan Kekal Selamanya’

    ARTIKEL BERKAITAN: Ellyza Azizi Dua Kali Tolak Tawaran Jadi Heroin, Anggap ‘Supporting’ Lebih Tinggalkan Kesan Di Hati Penonton

    Tujuh Tahun Berlakon, Masih Ramai Belum Kenal

    Pada usia 26 tahun, Ellyza mengakui angka pengikut yang belum sebesar sesetengah rakan seangkatan pernah membuatkannya tertanya-tanya sama ada dirinya cukup layak untuk diberikan watak utama.

    “Saya masih rasa takut-takut, segan dan macam tak layak sebab jumlah followers yang saya ada. Tapi saya percaya semua itu sebenarnya perasaan yang saya kena atasi dari segi keyakinan dan kepercayaan terhadap diri sendiri.”

    Lebih daripada sekadar rasa rendah diri, Ellyza mendakwa pernah berada dalam situasi tertentu apabila layanan yang diterimanya terasa berbeza kerana namanya belum cukup dikenali.

    “Mereka tak pernah cakap, tapi saya rasa mungkin sebab saya kurang dikenali. Dan benda itu memang boleh memberi kesan kepada saya sebagai pelakon. Bila kita tak yakin, dialog yang kita lafazkan pun boleh nampak goyang. Saya pernah pergi penggambaran dalam keadaan takut dengan delivery sendiri.”

    Ellyza bukanlah pendatang baharu. Dia mula berjinak-jinak dengan teater sejak sekolah menengah sebelum menyambung pengajian dalam bidang seni persembahan dan bekerja secara profesional dalam filem serta televisyen sejak usia 19 tahun.

    Selepas hampir tujuh tahun, dia sendiri mengakui masih ramai yang belum benar-benar mengenalinya. Namun, Ellyza tidak melihat perkembangan perlahan itu sebagai sesuatu yang negatif.

    “Saya rasa cara saya susun kerjaya saya masih berada di landasan yang betul. Sampai sekarang saya masih boleh bawa watak sekolah menengah dan kolej. Kalau saya masih nampak macam budak sekolah, saya nak gunakan apa yang saya ada sekarang dahulu.”

    Menurut Ellyza, ada pelakon yang hanya memerlukan satu projek untuk terus meledak. Namun, perkara itu berada di luar kawalannya.

    “Saya sangat menghargai momentum saya yang perlahan ini. Ada orang satu projek terus meletup, tapi benda itu bukan dalam kawalan saya. Mungkin peluang itu belum singgah lagi.”

    Sukar Cari Titik Tengah Antara Populariti & Jadi Diri Sendiri

    Ellyza sedar populariti dan media sosial mempunyai peranan penting dalam industri hari ini.

    MENARIK:  Anna Jobling Tunda ‘Terbang’ Ke Indonesia, Bangga Dengan Keprihatinan Rakyat Malaysia

    Dia pernah cuba mendapatkan khidmat pihak pengurusan untuk membantu dari sudut publisiti, selain menghasilkan kandungan sendiri bagi memperkenalkan dirinya kepada orang ramai.

    Namun, apa yang diminatinya tidak semestinya sama dengan kandungan yang sedang menjadi kecenderungan generasinya.

    “Saya suka memasak, arts and craft dan muzik lama. Jadi untuk saya kekal menjadi diri sendiri, tetapi dalam masa sama mengejar populariti, saya belum jumpa lagi titik tengah itu.”

    Disebabkan perjalanan yang perlahan, Ellyza tidak menafikan pernah terfikir untuk meninggalkan bidang lakonan.

    “Setiap tahun ada masa saya rasa, ‘Tak nak berlakonlah’. Ambil master, kemudian mengajar sahaja. Tapi pada akhirnya saya tak nak settle. Selagi saya masih boleh mencuba, saya akan terus cuba. Minat mungkin berkurang, tetapi kerja keras tidak.”

    Watak Utama Pertama Jadi Ujian Keyakinan

    Peluang terbaharu menerusi drama bersiri Tonton Vertical Bru: Masin & Manis kemudian menjadi satu langkah penting buat Ellyza apabila buat pertama kali dia diberikan tanggungjawab sebagai watak utama.

    Membawakan karakter Manis, Ellyza digandingkan dengan Imranul Effendy sebagai Mohsin.

    Dia mengakui pada awalnya bimbang kerana ini juga pengalaman pertama membawa watak cinta dalam sebuah cerita yang benar-benar memberi fokus kepada pasangan utamanya.

    Namun, keserasian dengan Imran membantu membina keyakinannya.

    “Alhamdulillah kami terus click. Dengan Imran saya tak rasa segan atau takut nak bertanya. Dia tak sombong, tak berlagak dan sangat grounded. Dia banyak membantu saya membina keyakinan untuk memegang watak utama.”

    Walaupun masih belum sepenuhnya yakin untuk melihat dirinya sebagai heroin, pengalaman tersebut membuatkan Ellyza lebih terbuka menerima peluang sama pada masa depan.

    Bagi Ellyza, dia mungkin belum mempunyai angka pengikut sebesar sesetengah pelakon lain, tetapi dia mahu terus bergantung kepada perkara yang mampu dikawalnya, iaitu persediaan, disiplin dan kemampuan lakonan.

    Kerana akhirnya, populariti mungkin mampu membuatkan orang mengenali namanya lebih cepat.

    Tetapi untuk Ellyza Azizi, bakat dan kerja keras tetap menjadi sebab dia mahu mereka terus mengingatinya.

    The post Bila Jumlah Followers Jadi Ukuran, Ellyza Azizi Akui Pernah Rasa Tidak Cukup Layak first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah