Badan Peguam Malaysia hari ini menggesa kerajaan mendedahkan syarat utama dalam pengaturan yang dilaporkan telah dicapai dengan Myanmar untuk menghantar pulang 5,000 pelarian, termasuk proses saringan dan jaminan perlindungan yang akan mengawal pelaksanaan cadangan tersebut.
Badan itu turut menggesa Putrajaya memastikan sebarang penghantaran pulang dibuat secara sukarela, berdasarkan maklumat yang mencukupi, selamat dan bermaruah serta tiada sesiapa dihantar kembali ke keadaan yang mendedahkan mereka kepada risiko sebenar penganiayaan, penyeksaan, genosid atau ancaman serius lain.
Presiden Badan Peguam Malaysia Anand Raj merujuk keputusan Mahkamah Agung United Kingdom pada 2023 berhubung penghantaran pencari suaka ke Rwanda.
Menurutnya, mahkamah berkenaan menyatakan bahawa jaminan diplomatik daripada negara penerima tidak boleh mengatasi kebimbangan mengenai rekod hak asasi manusia negara itu dan sejarah ketidakpatuhannya terhadap kewajipan antarabangsa.

Mahkamah itu turut mendapati terdapat alasan kukuh untuk mempercayai bahawa pencari suaka yang dihantar ke negara berkenaan akan menghadapi risiko sebenar pengusiran pulang secara paksa atau refoulement (yang menyebabkan dia dianiaya, diseksa atau dibunuh).
“Badan Peguam Malaysia menegaskan bahawa mereka yang tertakluk kepada proses ini mesti diberikan pilihan sebenar dan berdasarkan maklumat yang mencukupi untuk pulang kerana nyawa dan keselamatan mereka berdepan ancaman yang nyata sekiranya mereka dihantar pulang secara paksa dalam keadaan berbahaya.
“Pengumuman ini dibuat ketika permusuhan terhadap komuniti Rohingya masih berterusan, malah semakin meningkat, termasuk retorik yang menghina maruah masyarakat Rohingya, maklumat palsu dan cubaan menggambarkan keseluruhan komuniti yang dianiaya itu sebagai ancaman keselamatan atau sosial berdasarkan kejadian terpencil.
“Memandangkan prinsip larangan pengusiran pulang secara paksa semakin diiktiraf sebagai suatu norma jus cogens (undang-undang imperatif) yang mengikat Malaysia, hanya menunggu masa sebelum mahkamah kita diminta menerapkan larangan pengusiran pulang secara paksa sebagai prinsip undang-undang antarabangsa yang mengikat,” kata Anand pada kenyataan.

Gesaan Badan Peguam hari ini dibuat selepas Menteri Luar Mohamad Hasan berkata Myanmar telah menyatakan kesediaan untuk menerima semula 5,000 pelarian, termasuk membawa mereka pulang menggunakan kapal.
Semalam, Mohamad dipetik Bernama berkata cadangan itu masih diteliti oleh Kementerian Dalam Negeri manakala Wisma Putra akan memudah cara perbincangan antara kedua-dua negara.
"Tetapi isunya ialah keselamatan 5,000 orang ini. Apakah apabila kita hantar mereka balik, mereka selamat?
"Ataupun apa akan terjadi kepada mereka, itu perlu juga difikirkan,” katanya.

Mohamad turut berkata walaupun tiada tempoh masa ditetapkan bagi proses penghantaran pulang itu namun proses berkenaan perlu dilaksanakan secepat mungkin selepas saringan yang diperlukan selesai.
Menteri itu turut menjelaskan bahawa kumpulan berkenaan terdiri daripada pelarian Myanmar daripada pelbagai etnik dan tidak terhad kepada komuniti Rohingya.
Pada 5 Ogos, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata Malaysia tidak akan menghantar pulang mana-mana daripada 5,000 pelarian Myanmar yang dikenal pasti.
Jelasnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil maklum pelarian tidak boleh dihantar pulang sekiranya tindakan itu mengancam nyawa mereka.

Bagaimanapun, Putrajaya baru-baru ini mengarahkan Jabatan Imigresen dan polis mula mengumpulkan data mengenai warga Myanmar di Malaysia.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha menentukan individu yang mempunyai status pelarian dan mereka yang mungkin merupakan pendatang tanpa dokumen serta melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Saifuddin berkata proses pengumpulan data itu sudah bermula, dengan kumpulan data pertama dijangka diperoleh pada suku keempat tahun ini.
Menurutnya, kira-kira 4,000 warga Myanmar dikenal pasti berada di pusat tahanan imigresen setakat ini. Namun, dia menegaskan mereka belum boleh dikategorikan sebagai pelarian kerana status masing-masing masih perlu disaring.

“Kalau sah mereka itu berstatus pelarian maka mereka tentunya antara kumpulan awal yang akan kita uruskan penghantaran. Yang itu akan dikendali Wisma Putra.
“Kami menjalankan pendataan. Kita kena ada mekanisme untuk mendekati mereka ni, hebahkan bahawa kerajaan Malaysia sedang melakukan pendataan dan kita akan minta (mereka) tampil,” kata Saifuddin.
Bulan lalu, Saifuddin dilaporkan berkata Malaysia telah mula mendokumentasikan dan menyaring warga Myanmar yang ditahan di depot tahanan imigresen sebagai sebahagian daripada usaha tersebut.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asean Myanmar Han Win Aung pada 31 Julai berkata aturan itu tidak melibatkan Rohingya, sebaliknya membabitkan warga Myanmar yang ditahan di Malaysia dan kewarganegaraan mereka boleh disahkan, menurut Associated Press.

Sebagai maklum balas, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memberi amaran bahawa keadaan di Myanmar masih tidak selamat untuk kepulangan pelarian berikutan konflik yang berterusan.
UNHCR menegaskan kepulangan mereka mesti dibuat secara sukarela serta dalam keadaan selamat dan bermaruah.
Amnesty International Malaysia turut menggesa penghantaran pulang secara paksa terhadap Rohingya dan warga Myanmar lain dihentikan dengan merujuk konflik dan krisis hak asasi manusia yang masih berterusan.
Sementara itu, Anand berkata kebergantungan berterusan Malaysia kepada UNHCR untuk pendaftaran dan penentuan status pelarian turut mencerminkan kerajaan tiada garis panduan mengenai pemohon suaka.

“Dokumentasi UNHCR, walaupun penting, tidak memberikan status imigresen yang sah di bawah undang-undang tempatan.
“Sebarang peralihan kepada sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang dicadangkan kerajaan mesti dilakukan secara telus, dengan kerjasama rapat UNHCR dan tertakluk kepada perlindungan undang-undang yang sewajarnya.”
Kes genosid Myanmar di ICJ
Pada 23 Julai, Timbalan Menteri Luar Lukanisman Awang Sauni memberitahu Dewan Negara bahawa Putrajaya telah mengarahkan UNHCR menghentikan sementara semua pendaftaran pelarian sementara menunggu penstrukturan semula sistem pengurusan kerajaan menerusi program DPP.
Lukanisman dipetik The Star berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan pengurusan dan pendaftaran pelarian di negara ini dilaksanakan dengan lebih teratur di bawah pengawasan kerajaan.

Pada Januari 2020, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Myanmar mengambil langkah sementara bagi melindungi Rohingya daripada tindakan genosid, memelihara bukti dan melaporkan pematuhannya secara berkala, selepas Gambia membawa kes itu ke mahkamah pada 2019.
Awal tahun ini, ICJ memulakan perbicaraan merit bagi menentukan sama ada Myanmar melanggar Konvensyen Genosid menerusi tindakan tenteranya di Rakhine pada 2017, yang memaksa sekurang-kurangnya 730,000 Rohingya meninggalkan kediaman dan melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.
Misi pencarian fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ogos 2018 merumuskan bahawa serangan tersebut merangkumi “tindakan genosid”, dengan dakwaan pembunuhan, rogol beramai-ramai dan pembakaran.
ICJ dijangka memberikan keputusannya terhadap kes Myanmar melakukan genosid terhadap Rohingya ini pada tahun depan.
BACA BERKAITAN:
K'jaan teliti jaminan keselamatan sebelum hantar pelarian Rohingya pulang
Polis: Pelarian Rohingya dibawa ke petempatan ditempatkan NGO Kaladan
'Tutup pejabat UNHCR di negara ini jika tiada kerjasama urusan pelarian'





