30 C
Kuala Lumpur
Friday, June 26, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | ‘Tuah’ Bukit Jalil yang pernah singgah pada Brazil

    Shopee Sale

    ULASAN SUKAN | Sedar atau tidak, Bukit Jalil suatu ketika dulu pernah menjadi ‘lokasi bertuah’ untuk skuad bola sepak Brazil. Ia berlaku kira-kira 24 tahun lalu.

    Skuad bergelar Selecao itu hadir dan menjadikan Bukit Jalil sebagai markas latihan mereka dalam persiapan terakhir sebelum melangkah mengharungi Piala Dunia 2002.

    Entah kenapa barisan tersohor dari Amerika Latin itu memilih Malaysia.

    Ada pemerhati yang bertanya: kenapa bukan Singapura, Thailand, Indonesia atau China? Negara itu juga amat menggilakan bola sepak.

    Namun barisan dididik Luis Felipe Scolari itu memilih untuk berkampung di Kuala Lumpur selama beberapa hari sebelum Piala Dunia bermula pada 31 Mei sehingga 30 Jun.

    Ia juga detik bersejarah apabila dua negara dari Asia – Korea Selatan dan Jepun – menjadi menjadi tuan rumah buat julung kali.

    Antara sebab Brazil memilih Malaysia ialah, pertama, mahu pemain menyesuaikan diri dengan cuaca yang amat panas serta berbahang. Zon waktu mereka juga berbeza selama 12 jam.

    Kedua, pasukan berkenaan menerima sambutan mesra daripada penyokong tempatan. Pemain turut menyuarakan suasana itu membantu mereka lebih bersedia, lebih fokus dan menenangkan mental bagi memburu kemasyhuran di Piala Dunia nanti.

    Lebih menarik, selepas Piala Dunia 2002 berakhir, legenda Brazil, Gilberto Silva, mengimbas kembali persiapan yang difahamkan berjalan lancar di Bukit Jalil.

    Ketika bahang memuncak

    Dia dilaporkan berkata, sambutan mesra yang diberikan Malaysia membantu skuad Brazil membina momentum positif pasukan. Ia secara tidak langsung membantu mereka menjulang gelaran buat kali kelima.

    Dalam perlawanan akhir, Brazil menewaskan Jerman 2-0. Detik gemilang itu dicipta menerusi ayam tambatan mereka, Ronaldo, yang menyumbat kedua-dua gol itu di Stadium Yokohama, Jepun pada 30 Jun.

    Baik. Berbalik kita kepada cerita ‘tuah Bukit Jalil’.

    Penulis masih ingat persekitaan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menjadi tumpuan kerana kehadiran Brazil. Peminat juga sabar menunggu bintang pujaan mereka tampil di hotel penginapan.

    Malah, beberapa hari Bukit Jalil dan juga hotel pasukan pelawat itu menjadi lokasi sibuk. Media tempatan memberikan liputan meluas yang menjadi tajuk utama di hampir di semua media cetak dan elektronik.

    Bahang Piala Dunia pun sedang memuncak. Pada ketika itu ramai tidak menjangkakan bahawa pasukan yang mereka melihat dari jarak dekat itu akan kemudian menjadi juara dunia di Korea Selatan dan Jepun.

    Penulis pun tidak menjangka akan mendapat peluang membuat liputan yang amat berharga itu. Masa itu penulis bertugas sebagai ‘wartawan side-kick sahaja.

    Sebagai nota, dalam dunia penulisan dan penyiaran media, istilah ‘wartawan side-kick’ secara tidak rasmi merujuk kepada pembantu, rakan setugas atau wartawan pelapis yang menyokong wartawan utama (senior).

    Macam tak percaya pula dapat turun padang mendekati barisan bintang Brazil seperti Ronaldo, Ronaldinho dan Roberto Carlos. Bukan semua pemain atau pegawai Brazil fasih bahasa Inggeris. Mereka membawa penterjemah untuk memudahkan tugasan kami.

    Saingan pemanas badan

    Rakan petugas media yang lain juga berkongsi perasaan sama. Setiap hari wartawan tempatan dan asing bersemangat mencari bahan berita menarik mengenai persiapan pasukan berwarna-warni itu.

    Hanya perkataan ‘bertuah’ dapat dihuraikan apabila penulis dan rakan media mendapat tugasan membuat liputan tersebut.

    Kami mudah mendapat akses membuat liputan dan temu ramah dengan pemain serta pegawai Brazil. Mereka memang amat mesra.

    Begitu juga Scolari yang mudah menguntumkan senyuman selain kerap melambai-lambai ke arah peminat dan petugas media.

    Sifat dan pendekatan mesra mereka hanya membuat kami terpanggil untuk mendoakan kejayaan Brazil.

    Malah, ia dipopularkan oleh pemain legenda, Pele yang menyebut “o jogo bonito’ dalam bahasa Portugis yang bermaksud “the beautiful game”.

    Sebelum berlepas ke Piala Dunia, skuad ‘Samba’ itu bertemu pasukan Malaysia pimpinan Alan Harris dalam siri persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 25 Mei.

    MENARIK:  Heli TLDM terhempas: Sultan Selangor zahir dukacita

    Saingan itu diadakan seminggu sebelum kejohanan terbesar dunia bermula.

    Kesebelasan pasukan pelawat itu mendapat sorakan kuat apabila menjejak kaki ke gelanggang. Amat menggerunkan melihat kelibat Marcos, Cafu (kapten), Lucio, Edmilson, Roque Junor, Roberto Carlos, Emerson, Kleberson, Rivaldo, Ronaldinho dan bintang utama mereka, Ronaldo.

    Setiap pemain negara kita pula ghairah apabila mendapat peluang beraksi di depan penyokong sendiri. Ia bagaikan aksi sekali dalam seumur hidup mereka.

    Juara tanpa kalah

    Barisan negara pada hari berkenaan juga bukan calang-calang pemain.

    Kehadiran penjaga gol, Azmin Azram, Rosdi Talib, Norhafiz Zamani Misbah, Muhammad Khaironnisam, Aamd Shahrul Azhar, Tengku Hazman, Akmal Rizal Rakhli, Indraputra Mahayuddin Khalid Jamlus, Liew Kit Kong dan Subri Sulong memberi impak besar.

    Apa pun, dalam aksi berkenaan barisan bintang yang bakal menjadi juara dunia itu nyata lebih ampuh dan dapat menewaskan Malaysia 4-0 di hadapan kira-kira 65,000 penonton.

    Gol Brazil dijaringkan oleh Ronaldo pada minit ke-51, diikuti Junnho Paulista (63), Denilson (70) dan Ronaldinho (75).

    Rentak kemenangan di Bukit Jalil itu berjaya disambung dengan aksi garang di Korea Selatan dan Jepun. Untuk rekod Brazil tidak kalah sekali pun dalam Piala Dunia edisi berkenaan.

    Dalam perlawanan Kumpulan C, anak didik Scolari memulakan kempen menumbangkan Turkiye 2-1. Kemudian mereka bersahaja membaham China 4-0 sebelum melengkapkan jadual menewaskan Costa Rica 5-2.

    Sejumlah 11 gol daripada tiga perlawanan itu sekadar menguatkan lagi tanggapan ramai betapa juara empat kali dunia itu adalah pilihan dengan aksi hampir sempurna.

    Andaian mereka itu tidak mengecewakan.

    Dalam saingan kalah mati 16 terakhir, Brazil mengetepikan Belgium 2-0 dan kemudian menapak kukuh menghampakan England 2-1 dalam aksi suku akhir.

    Penentuan ke final juga berakhir dengan nota kemenangan menewaskan Turkiye 1-0 di separuh akhir.

    Dalam perlawanan akhir, jentera serangan Brazil bagai tidak dapat disekat lagi. Mereka menumpaskan Jerman 2-0 untuk menjulang trofi emas itu dengan persembahan bertaraf lima bintang.

    Ronaldo (R9) atau nama sebenarnya Ronaldo Luis Nazario de Lima yang dilahirkan di Bento Ribeiro di Rio de Janeiro menjadi bahan berita panas. Dia menyudahkan cabaran selaku penjaring gol terbanyak dengan lapan jaringan.

    Keringat pemain tinggi lampai itu berbalas apabila diumumkan pemenang Anugerah Kasut Emas dan juga Bola Emas selaku pemain terbaik kejohanan.

    Apakah bagi skuad Brazil, gemilang itu ada sedikit kaitan dengan kunjungan bertuah ke Malaysia, 24 tahun lalu?

    Tidak kisahlah benar atau tidak. Dalam minda komuniti bola sepak negara, mereka akan sentiasa beranggapan Bukit Jalil menyuntik tonik mujarab kepada Brazil.

    Sikap peramah dan mesra rakyat serta persekitaraan di Malaysia sedikit sebanyak membantu barisan pelawat itu membuat persiapan terakhir secara lebih tenang.

    Apabila satu hari nanti pemain Brazil dan Scolari melihat semula pingat kejuaraan selaku juara Piala Dunia 2002, nama Malaysia atau lebih khusus Bukit Jalil setidak-tidaknya akan kekal dalam memori mereka.


    V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah