Bekas menteri kewangan berkata, ahli parlimen pembangkang sepatutnya menggunakan sidang khas parlimen hari ini untuk menghentam kerajaan jika ada sebarang kesalahan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH).
Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pembangkang tidak sepatutnya memboikot sidang khas tersebut kerana ia membincangkan tentang ekonomi umat Islam dan Melayu antara yang terbesar dalam sejarah negara.
"Saya ada akaun Tabung Haji. Pak cik jual ikan kat pasar ada akaun Tabung Haji. Atok penoreh getah kat kampung ada akaun Tabung Haji. Makcik tukang cuci pun ada akaun Tabung Haji.
"Kalau ada yang tak kena, bangun dan soal (dalam dewan). Kalau tak setuju, bahas. Kalau kerajaan salah, hentam dengan fakta.
"Tak apa kalau tak setuju. Tapi jangan sampai nampak macam tak peduli," kata penasihat kanan politik kepada perdana menteri itu dalam hantaran di Facebooknya petang ini.
Terdahulu, hampir semua ahli parlimen pembangkang memilih untuk keluar sekali gus memboikot perbahasan Dewan Rakyat selepas permintaan mereka untuk menangguhkan sidang itu ditolak hari ini.
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, pada awalnya tampil membangkitkan peraturan mesyuarat agar sidang khas RCI itu ditangguh kerana Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dapat menghadiri sesi berkenaan.
"Kami tidak mengikuti perbahasan ini di pihak pembangkang," kata Takiyuddin sebaik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan bangun untuk memulakan sesi penerangan laporan tersebut.
Namun, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memutuskan ia tetap diteruskan seperti dijadualkan hari ini walaupun tanpa kehadiran Anwar.
Tengku Zafrul berkata, pembangkang tidak sepatutnya menggunakan alasan ketiadaan perdana menteri untuk meninggalkan dewan dan menganggap sidang hari ini sekadar sesi penerangan.
"Ini bukan perbahasan tentang perdana menteri. Ini tentang simpanan umat Islam dalam Tabung Haji," katanya lagi.





