Suaram hari ini menyambut baik arahan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk mengkaji dan menilai semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 – atau lebih dikenali sebagai Sosma.
Pun begitu, kata NGO berkenaan, kerajaan perlu disedarkan bahawa usaha tersebut tidak wajar dilengah-lengahkan.
Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, berkata perbincangan menyeluruh dengan pihak berkepentingan telah dijalankan pada 2023 melibatkan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk undang-undang dan reformasi institusi, Ramkarpal Singh.
Katanya cadangan terperinci berkenaan akta tersebut telah dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Apa yang diperlukan sekarang bukanlah satu lagi pusingan kajian, tetapi tindakan pantas untuk melaksanakan pindaan ini tanpa sebarang kelewatan lagi.
“Antara pindaan yang diharapkan Suaram ialah pemansuhan seksyen 4(5) iaitu mengenai penahanan tanpa bicara selama 28 hari tanpa pengawasan kehakiman kerana ia bertentangan dengan hak untuk mendapat perbicaraan yang adil dan mencipta keadaan yang memudahkan penyeksaan dan layanan tidak wajar semasa dalam tahanan,” katanya.
Tambah Sevan, Suaram juga menggesa Seksyen 13(1) dipinda agar semua tahanan diberi hak untuk memohon jaminan, sama seperti peruntukan jaminan dalam Kanun Tatacara Jenayah.
Ketika ini, katanya, seksyen itu mengehadkan permohonan jaminan kepada wanita, kanak-kanak dan orang sakit atau kurang upaya sahaja.
Katanya mengehadkan permohonan jaminan bertentangan dengan prinsip status seseorang itu boleh dianggap bersalah atau tidak, serta mendatangkan kemudaratan sosioekonomi yang teruk kepada keluarga tahanan.
Keadaan itu, katanya, sering menjerumuskan mereka ke dalam masalah kewangan dan menjejaskan kesejahteraan dan pendidikan anak masing-masing.
Sevan turut menambah KDN harus segera menetapkan garis masa yang jelas untuk membentangkan pindaan Sosma di parlimen dan melaksanakan moratorium sama ada ke atas semua kes yang sedang berjalan atau kes akan datang sehingga reformasi penting berkenaan dilaksanakan.
Semalam, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata kabinet bersetuju pada prinsipnya bahawa akta kontroversi itu memerlukan beberapa penambahbaikan.
Jelas Fahmi, dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail akan memperincikan perkara tersebut dalam kenyataan yang akan dibuat di Dewan Rakyat minggu depan.





