Kerajaan Kelantan menetapkan semua kompleks beli-belah, pasar raya dan pasar raya besar di negeri itu ditutup sepenuhnya pada hari pertama Aidiladha, iaitu pada Rabu depan.
Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan berkata pada hari berkenaan juga premis makanan segera, kedai serbaneka dan premis seumpamanya pula hanya dibenarkan beroperasi selepas jam 1 tengah hari.
Katanya keputusan itu selaras dengan pendekatan yang dilaksanakan kerajaan negeri bersempena dengan Aidilfitri yang lalu dan dipersetujui dalam mesyuarat exco kerajaan negeri semalam.
“Penutupan premis ini bertujuan memberikan peluang kepada pekerja sektor peruncitan dan perkhidmatan menunaikan solat sunat Aidiladha serta melaksanakan ibadah korban bersama keluarga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat tersebut di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu.
Sementara itu, Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri memandang serius peningkatan kes pembunuhan di Kelantan yang disifatkan amat membimbangkan dan mendukacitakan.
Dia berkata walaupun kadar jenayah indeks keseluruhan di negeri itu masih rendah berbanding negeri lain, peningkatan kes bunuh memerlukan perhatian segera semua pihak.
“Daripada hanya satu kes dalam tempoh sama tahun lepas kepada lima kes dalam tempoh lima bulan tahun ini, ia perlu diberi perhatian serius,” katanya.
Adun Temangan itu turut menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia atas usaha berterusan mereka membanteras jenayah serta memastikan keselamatan awam di negeri itu terus terpelihara.
Pada Isnin lalu Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan kes bunuh di negeri itu yang melonjak lebih 100 peratus bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.





