30 C
Kuala Lumpur
Friday, June 26, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Pertembungan keraguan vaksin dan ‘El Nino Godzila’ bawa risiko bencana denggi

    Shopee Sale

    Di tepi dewan komuniti itu kelihatan seorang badut tangkas membentuk belon menjadi pelbagai haiwan, sambil dua sukarelawan menawarkan ais krim kepada kanak-kanak, ibu bapa serta datuk dan nenek yang hadir.

    Bertempat di sebuah kawasan kejiranan di Kepong, program kesihatan komuniti “Saringan Anemia dan Kempen Vaksinasi Denggi untuk Kanak-kanak” anjuran Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) itu dijadualkan bermula pada 10 pagi, dan kelihatan orang ramai sibuk mengisi borang, memeriksa komposisi lemak dan otot tubuh serta menjalani saringan darah dan akhirnya ke sebuah bilik bagi menerima suntikan vaksin denggi.

    “Ramai yang datang,” ulas Prof Dr Rafdzah Ahmad Zaki, profesor epidemiologi dan kesihatan awam UM. Nada suaranya kedengaran puas dan sedikit lega.

    Dua minggu sebelum itu, UM menganjurkan program serupa di Ampang, Selangor. Mereka menjangkakan kehadiran 300 orang, namun yang datang tidak sampai 100.

    Menurut Dr Rafdzah, kemungkinan besar masyarakat menyangka program itu bertujuan memberi vaksin dan bukannya menjalankan pemeriksaan kesihatan.

    “Ada yang kata apabila mereka dengar tentang vaksin denggi, mereka jadi takut,” katanya kepada Bernama.

    Tambahnya, beberapa individu yang mempunyai janji temu untuk menjalani saringan di Pusat Perubatan Universiti Malaya turut membatalkan janji temu mereka atas alasan vaksin denggi.

    Pada hari-hari biasa, UM menyediakan saringan anemia dan vaksinasi denggi percuma untuk kanak-kanak di pusat perubatannya.

    Maklumat yang sampai di telinga Dr Rafdzah dan juga rakan-rakan sejawatan beliau, amat membimbangkan mereka. Lebih-lebih lagi dengan apa yang bakal berlaku.

    Malaysia kini berdepan ancaman tiga serangkai yang berkait rapat dengan perubahan iklim: fenomena El Niño ekstrem - digelar “El Nino Godzila” - yang diramal membawa cuaca panas dan kering melampau diselang-seli hujan lebat, dari Jun hingga awal tahun depan, peningkatan kes denggi dari tahun ke tahun; dan kadar anemia yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

    Gabungan 2 faktor membentuk bencana

    Denggi yang turut dikenali sebagai “break-bone fever” (digelar sedemikian kerana kesakitan teruk pada sendi dan otot seolah-olah mengalami patah tulang), merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus bawaan nyamuk Aedes aegypti. Penyakit ini endemik di Malaysia dan negara-negara lain yang terletak berhampiran garisan khatulistiwa.

    Dulu hanya dikaitkan dengan kawasan panas dan lembap, namun kini denggi tidak lagi dianggap sebagai penyakit tropika semata-mata. Akibat pemanasan global, penyakit itu turut dikesan di kawasan beriklim sederhana seperti Itali, Perancis, Sepanyol dan Amerika Utara.

    Tambah memburukkan keadaan, suhu yang tinggi turut mempercepat kitaran hidup nyamuk.

    “Apabila cuaca panas, tempoh inkubasi nyamuk menjadi lebih singkat. Jadi telur menetas lebih awal dan jumlah nyamuk bertambah,” jelas Prof Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, Pengarah Eksekutif Pusat Kesihatan Planetari Sunway, dalam temu bual dengan Bernama melalui Google Meet.

    “Proses inkubasi itu menjadi lebih cepat, menyebabkan nyamuk membiak di lebih banyak tempat dan sepanjang tahun, bukan hanya pada musim tertentu (jadi nyamuk ini sentiasa ada).”

    Kesan cuaca panas dan peningkatan kes denggi sudah mula dirasai di Malaysia dengan gelombang haba bermula pada Mac tahun ini. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata setakat 13 Jun, sebanyak 33,367 kes denggi direkodkan, meningkat 20.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Sebelas hari kemudian, Malaysia merekodkan tambahan 4,220 kes lagi berdasarkan data portal i-Dengue kerajaan.

    Sekadar berharap pada cuaca panas untuk mengeringkan air bertakung juga bukan penyelesaian kerana, menurut Dr Rafdzah, virus denggi boleh menjangkiti telur nyamuk, dan telur itu pula mampu hidup tanpa air hingga enam bulan.

    Kajian mendapati El Niño meningkatkan kejadian denggi. Satu daripada kajian itu yang bertajuk “Rising dengue risk with increasing El Niño–Southern Oscillation amplitude and teleconnections” oleh Tian, Y, et al dan diterbitkan dalam jurnal saintifik Nature pada September 2025, mendapati 63 peratus kes denggi di benua Amerika dan Asia berkait dengan fenomena El Niño pada 1982 hingga 1983; 1997 hingga 1998; 2015 hingga 2016; dan 2023 hingga 2024. [https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC12480917].

    Para penyelidik merumuskan pemanasan global yang berpunca daripada aktiviti manusia dan telehubungan iklim boleh menyebabkan peningkatan kes terkumpul antara 39.0 hingga 81.7 peratus bagi tempoh 2020 hingga 2099.

    Pada masa sama, Malaysia turut berdepan dengan kadar anemia yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak akibat kekurangan zat besi. Menurut Dr Jemilah, pemanasan global boleh memburukkan lagi keadaan anemia, sekali gus meningkatkan risiko strok.

    Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022: Kesihatan Ibu dan Anak, dianggarkan 46.5 peratus kanak-kanak Malaysia berusia bawah lima tahun terjejas anemia, yang dicirikan oleh jumlah sel darah merah yang rendah dan boleh menyebabkan keletihan, selain menjejaskan keupayaan kognitif dan kemahiran motor.

    Dalam program kesihatan di Kepong itu, Dr Rafdzah berkata pihaknya mahu menjalankan saringan anemia terhadap kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun kerana data mengenai kumpulan umur tersebut masih tidak mencukupi.

    “Tidak ramai yang tahu bahawa pesakit anemia yang dijangkiti denggi biasanya mengalami gejala yang jauh lebih teruk,” katanya.

    Denggi menyebabkan sumsum tulang mengurangkan penghasilan platelet serta merosakkan dinding salur darah, sekali gus berisiko membawa kepada pendarahan dalaman dan kegagalan organ. Bagi pesakit anemia yang sememangnya mempunyai jumlah sel darah merah yang rendah, sebarang kehilangan darah boleh menjadi sangat berbahaya. Sumsum tulang mereka juga lebih lemah akibat kekurangan zat besi.

    Jangkitan denggi kali kedua lazimnya lebih teruk berbanding jangkitan pertama.

    Selain menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelakkan air bertakung yang menjadi tempat pembiakan nyamuk, pihak berkuasa kesihatan turut menggalakkan orang ramai mengambil vaksin Qdenga, iaitu satu-satunya vaksin denggi yang diluluskan di Malaysia dan diberikan dalam dua dos.

    Namun begitu, kadar pengambilannya masih rendah. Dalam program kesihatan UM di Kepong, daripada 42 kanak-kanak yang menjalani saringan, hanya 33 bersetuju menerima vaksin tersebut.

    Kekurangan kepercayaan

    Dalam artikel bersempena dengan Hari Denggi ASEAN yang diterbitkan dalam The Edge Malaysia pada 15 Jun, Pengerusi Dengue Prevention Advocacy Malaysia Dr Zulkifli Ismail menggesa supaya vaksin Qdenga dimasukkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

    Beliau berkata usaha memerangi denggi tidak lagi boleh bergantung semata-mata pada pelepasan nyamuk dijangkiti bakteria Wolbachia atau kempen perubahan tingkah laku.

    MENARIK:  Tengku Hassanal: Jangan main isu politik pecah-belahkan rakyat

    “Kita tidak boleh menganggap vaksin ini sebagai produk khusus untuk mereka yang tahu dan berkemampuan sahaja. Kementerian Kesihatan perlu segera melancarkan kempen kesedaran awam secara besar-besaran dan menyeluruh serta berunding dengan pengeluar (vaksin),” tulisnya.

    Susulan peningkatan keraguan terhadap vaksin, membiarkan vaksin sepenting ini sebagai pilihan semata-mata mungkin bukan langkah bijak.

    Keraguan terhadap vaksin, atau lebih dikenali sebagai gerakan antivaksin, merangkumi pelbagai tahap, daripada mereka yang menolak semua vaksin kepada mereka yang hanya menerima vaksin tertentu atau selepas syarat tertentu dipenuhi, seperti status halal kandungannya. Kajian menunjukkan keraguan terhadap vaksin semakin meningkat di Malaysia sejak dua dekad lalu dengan penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui vaksin seperti campak dan pertusis (batuk kokol) turut meningkat.

    NHMS 2022 mendapati kadar keraguan terhadap vaksin meningkat 10 kali ganda dalam tempoh 2016 hingga 2022, daripada 0.1 peratus kepada satu peratus. Pulau Pinang merekodkan kadar tertinggi kanak-kanak yang tidak divaksin atau menerima vaksin tidak lengkap, iaitu 40.4 peratus; diikuti Kelantan (28.9 peratus) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya (27.2 peratus). Kajian itu turut mendapati lima peratus ibu bapa mempunyai keraguan terhadap vaksin.

    Tiada data khusus mengenai vaksinasi denggi kerana vaksin itu belum dimasukkan ke dalam NIP.

    Pada 2016, Filipina melaksanakan program vaksinasi besar-besaran menggunakan vaksin Dengvaxia untuk murid sekolah. Namun ketika itu belum diketahui vaksin tersebut hanya sesuai diberikan kepada individu yang pernah dijangkiti denggi. Bagi mereka yang tidak pernah dijangkiti, Dengvaxia sebenarnya boleh meningkatkan risiko mendapat denggi yang lebih teruk.

    Walaupun kerajaan Filipina tidak dapat membuktikan vaksin itu menyebabkan kematian 14 murid yang telah divaksinasi kerana terdapat juga kematian akibat denggi dalam kalangan murid yang tidak menerima vaksin tersebut, keyakinan masyarakat sudahpun terjejas.

    Tahap kepercayaan terhadap vaksin di Filipina merosot daripada 93 peratus pada 2015 kepada 32 peratus pada 2018, manakala kes campak meningkat apabila ibu bapa enggan membenarkan anak mereka divaksinasi.

    Menurut Dr Rafdzah, laporan media tentang penarikan balik vaksin denggi dos tunggal yang sedang melalui ujian klinikal di Brazil susulan siasatan terhadap dua kematian yang dikaitkan dengan vaksin itu turut menjejaskan lagi keyakinan ibu bapa terhadap vaksin denggi.

    “Orang ramai takut akan vaksin. Apa juga vaksin,” katanya.

    Beliau menambah penyebaran maklumat palsu di media sosial serta laporan berita yang kurang memberikan konteks memburukkan lagi krisis kepercayaan tersebut.

    Maklumat salah atau kekurangan maklumat?

    Bagi sesetengah individu yang menyokong vaksin, masalah utama bukanlah maklumat palsu tetapi kekurangan maklumat.

    Dalam program kesihatan di Kepong itu, Tan Pei Syien, 38, ibu kepada dua orang anak lelaki, berkata dia membawa anak-anaknya untuk mendapatkan vaksin denggi.

    “Sebelum ini saya tidak tahu pun tentang vaksin denggi,” katanya, menambah dia juga berminat untuk mendapatkan vaksin tersebut.

    Namun, tidak semua orang dewasa mempunyai pandangan yang sama. Ketua Penerangan Persatuan Kebajikan Penduduk Petaling Garden Kuala Lumpur, Kelvin Yee berkata golongan warga emas agak sukar diyakinkan.

    Sebahagian besar penduduk Petaling Garden di Kepong merupakan warga emas dan kawasan itu juga dikenal pasti sebagai lokasi panas denggi.

    “Sumber berita mereka ialah Facebook atau kedai kopi. Mereka percaya apa yang didengar di kedai kopi. Mereka tidak percaya pada kami,” katanya.

    Buat masa ini, pihak berkuasa kesihatan masih perlu bergantung pada kaedah tradisional, iaitu memastikan kawasan sentiasa bersih dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

    Yee berkata tahap pematuhan penduduk di kawasan kejiranannya agak baik setakat ini. Beliau mengaitkan hal itu dengan kematian seorang penduduk berusia 25 tahun akibat denggi pada tahun lalu. Ketika siasatan dijalankan, pihak kesihatan awam mendapati tangki air di atas rumah mangsa dipenuhi larva nyamuk.

    “Penduduk itu meninggal dunia akibat denggi. Jadi mereka takut. Kesedaran timbul selepas berlaku kematian,” katanya.

    Dr Rafdzah bersetuju kebersihan komuniti amat penting dalam memerangi denggi, namun berharap masyarakat tidak menunggu sehingga berlaku kematian sebelum bekerjasama mencegah penyakit itu.

    “Jika anda berusaha melindungi rumah sendiri tetapi jiran tidak mahu melindungi rumah mereka, usaha itu tidak akan berjaya,” katanya.

    Bagi kanak-kanak, pesakit anemia dan golongan berisiko tinggi, mereka digalakkan mengambil vaksin denggi.

    “Jika anda berada dalam kumpulan berisiko tinggi, maka vaksin ini wajar dipertimbangkan,” kata Dr Jemilah.

    Bagi sesetengah individu yang menyokong vaksin, masalah utama bukanlah maklumat palsu tetapi kekurangan maklumat.

    Dalam program kesihatan di Kepong itu, Tan Pei Syien, 38, ibu kepada dua orang anak lelaki, berkata dia membawa anak-anaknya untuk mendapatkan vaksin denggi.

    “Sebelum ini saya tidak tahu pun tentang vaksin denggi,” katanya, menambah dia juga berminat untuk mendapatkan vaksin tersebut.

    Namun, tidak semua orang dewasa mempunyai pandangan yang sama. Ketua Penerangan Persatuan Kebajikan Penduduk Petaling Garden Kuala Lumpur, Kelvin Yee berkata golongan warga emas agak sukar diyakinkan.

    Sebahagian besar penduduk Petaling Garden di Kepong merupakan warga emas dan kawasan itu juga dikenal pasti sebagai lokasi panas denggi.

    “Sumber berita mereka ialah Facebook atau kedai kopi. Mereka percaya apa yang didengar di kedai kopi. Mereka tidak percaya pada kami,” katanya.

    Buat masa ini, pihak berkuasa kesihatan masih perlu bergantung pada kaedah tradisional, iaitu memastikan kawasan sentiasa bersih dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

    Yee berkata tahap pematuhan penduduk di kawasan kejiranannya agak baik setakat ini. Beliau mengaitkan hal itu dengan kematian seorang penduduk berusia 25 tahun akibat denggi pada tahun lalu. Ketika siasatan dijalankan, pihak kesihatan awam mendapati tangki air di atas rumah mangsa dipenuhi larva nyamuk.

    “Penduduk itu meninggal dunia akibat denggi. Jadi mereka takut. Kesedaran timbul selepas berlaku kematian,” katanya.

    Dr Rafdzah bersetuju kebersihan komuniti amat penting dalam memerangi denggi, namun berharap masyarakat tidak menunggu sehingga berlaku kematian sebelum bekerjasama mencegah penyakit itu.

    “Jika anda berusaha melindungi rumah sendiri tetapi jiran tidak mahu melindungi rumah mereka, usaha itu tidak akan berjaya,” katanya.

    Bagi kanak-kanak, pesakit anemia dan golongan berisiko tinggi, mereka digalakkan mengambil vaksin denggi.

    “Jika anda berada dalam kumpulan berisiko tinggi, maka vaksin ini wajar dipertimbangkan,” kata Dr Jemilah.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah