Pelakon, Alif Hadi mengakui pengalaman pernah dikhianati dalam hubungan cinta menjadi antara faktor yang membantunya menghayati watak Rashid dalam drama Ikatan Terlarang.
Artikel Berkaitan: Yasmin Hani & Alif Hadi Masih Berkawan Baik Walau Dah Putus Cinta, Nafi Bikin Gimik – ‘Tiada Sebab Nak Bermusuh’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Alif Hadi Pegang Status Duda, Rupanya Pernah Berumah Tangga – ‘Aku Bazir 7 Tahun, Hidup Untuk Orang Lain’

Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Abdul Hadi, 37, berkata dia memahami emosi dan perasaan yang dilalui oleh watak tersebut kerana pernah berdepan situasi yang hampir sama dalam kehidupan sebenar.
Katanya, pengalaman itu membuatkan dia lebih mudah menyelami konflik dalaman serta kemarahan yang dipendam oleh karakter Rashid.
Secara jujurnya, saya pernah melalui situasi yang dialami Rashid. Sebab itu saya faham apa yang dirasakan oleh watak ini kerana perkara seperti itu pernah berlaku dalam hidup saya.
Ada satu sisi dalam diri saya yang kadang-kadang mahu bertindak mengikut emosi, tetapi saya tidak boleh berbuat demikian kerana dididik dengan cara yang berbeza.
Watak Rashid seolah-olah menjadi ruang untuk saya meluahkan perkara yang selama ini hanya terpendam.
Apabila berdepan pengkhianatan dalam hubungan, lebih-lebih lagi membabitkan orang yang sudah berumah tangga, perasaan itu memang sukar digambarkan.
Saya rasa ada kejujuran dalam watak Rashid yang dekat dengan diri saya. Apa yang Rashid lalui, saya juga pernah rasakan. Sebab itu saya dapat memahami karakter ini dengan lebih mendalam.
Alif berkata demikian ketika ditemui pada program MeleTOP yang berlangsung di Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Alif menegaskan perkongsiannya itu bukan bertujuan untuk membuka cerita lama atau mengaitkan mana-mana individu tertentu.
Sebaliknya, dia hanya berkongsi pengalaman hidup yang membantunya membina dan menghidupkan watak tersebut di layar kaca.
Saya tidak menyebut nama sesiapa. Pada usia saya sekarang, sudah tentu saya pernah melalui pelbagai pengalaman dan hubungan dalam hidup.
Apa yang saya ceritakan hanyalah mengenai kaitan antara pengalaman peribadi dengan watak Rashid, itu sahaja.
Kalau ada pihak yang mahu membuat andaian atau berdebat mengenai perkara lain, itu hak mereka. Saya tidak mahu masuk campur kerana fokus saya hanyalah kepada watak yang saya bawakan.
The post Alif Hadi Faham Perasaan Dicurangi first appeared on OHBULAN!.





