31.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 25, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Khabar pelantikan Undang Rembau baru cetus pertikaian Dato-dato Lembaga

    Shopee Sale

    Kemelut institusi adat di Negeri Sembilan memasuki episod baru apabila kumpulan Dato-dato Lembaga Luak Rembau hari ini dijadual mengadap Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, bagi proses pelantikan Undang Luak Rembau yang baru.

    Istiadat mengadap di Istana Besar Seri Menanti pada jam 3 petang itu bagi memohon perkenan penetapan tarikh Istiadat Mengadap Bagi Menzahirkan Kejadian Undang untuk bakal Undang Rembau, lapor Astro Awani.

    Laporan itu memetik kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Azizi Mohamad Ali pada Khamis, yang turut menjemput pihak media membuat liputan istiadat berkenaan.

    Mengikut atur cara, rombongan Dato Lembaga Luak Rembau akan tiba di Istana Besar Seri Menanti pada jam 2.30 petang sebelum disambut Orang Empat Istana dan dibawa ke Balairong Kecil.

    Tunku Besar Seri Menanti kemudiannya dijadual berangkat ke Balai Mengadap Kecil bagi menerima mengadap rombongan tersebut.

    Bagaimanapun Dato Lembaga Kanan Tiang Balai Baruh Institusi Balai Rasmi Undang Luak Rembau, Dato Merbangsa Azmi Ahmad menafikan Dato-dato Lembaga daripada Luak itu akan mengadap Tunku Ali bagi proses pelantikan Undang Luak Rembau yang baru.

    Azmi ketika dihubungi Malaysiakini berkata kesemua Dato Lembaga Luak Rembau berdiri teguh bersama Undang Rembau, Abd Rahim Yasin.

    "Tiada seorang pun Dato-Dato Lembaga dan Orang Besar yang sah terlibat dengan hal ini.

    "100 peratus Lembaga dan orang besar Undang berdiri teguh bersama YTM Dato Sedia Raja Hj Abdul Rahim.

    "Mereka yang mengaku Dato lembaga itu adalah pihak-pihak yang tidak sah dan tidak pernah dilantik dan di kalangan mereka ada yang telah dipecat," katanya dalam kiriman mesej kepada Malaysiakini.

    Azmi berkata pihak Dato-dato Lembaga Luak Rembau akan bersidang petang ini dan membuat kenyataan media berhubung perkara itu.

    MENARIK:  Mujahid gesa setiap negeri kuat kuasa fatwa haram Al-Arqam ke atas GISBH

    Tunku Besar Seri Menanti ialah gelaran adat bagi pembesar Negeri Sembilan dan disandang oleh seorang putera kepada Yang di-Pertuan Besar.

    Jawatan ini merupakan salah satu daripada empat gelaran “Putera Yang Empat” dalam institusi diraja Negeri Sembilan.

    Struktur kepimpinan Adat Perpatih bermula daripada Buapak di peringkat kelompok paling kecil, diikuti Lembaga sebagai ketua suku, dan Undang sebagai pemerintah luak.

    Yang di-Pertuan Besar pula dipilih melalui muafakat empat Undang utama iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Rembau, Undang Jelebu dan Undang Johol.

    Krisis adat dan institusi beraja di Negeri Sembilan bermula pada 17 April lalu apabila Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) di Istana Besar Seri Menanti mengesyorkan agar Mubarak Thahak digugurkan sebagai Undang Luak Sungai Ujong.

    Sebanyak 33 alasan pelanggaran adat dikemukakan bagi menyokong tindakan tersebut. Bagaimanapun Mubarak Thahak mempertikaikan kesahihan pemecatan tersebut.

    Keempat-empat Undang itu kemudian mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar dan berusaha menabalkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai pengganti.

    Di Rembau, kemelut mengenai pelantikan Undang dikatakan bermula sejak lebih dua tahun lalu apabila buapak Kampung Tanjong, Hassan Ab Hamid mendakwa pengisytiharan Kampung Pulau sebagai lubuk benih pesaka Undang Luak Rembau Ke-22 tidak dilaksanakan berlandaskan aturan adat Rembau.

    Lapan kampung terbabit dalam mewarisi jawatan itu ialah Kampung Tanjung, Kampung Pulau, Kampung Chengkau, Kampung Tengah, Kampung Tebat, Kampung Bukit, Kampung Gadong dan Kampung Kota.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah