Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut terhadap Institusi Diraja Negeri Sembilan menerusi akaun Facebooknya, bulan lepas.
Aktivis politik berusia 48 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di Facebook menerusi akaun Che GuBard pada 26 Mei, kira-kira 8.30 malam di Kuala Pilah.
Tertuduh melakukan kesalahan di bawah perenggan 4(1) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazali Omar menawarkan jaminan RM10,000 serta memohon mahkamah mengeluarkan satu perintah 'gag order' terhadap Badrul Hisham daripada mengeluarkan kenyataan berkaitan isu Institusi Diraja Negeri Sembilan.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM2,500 selain membantah perintah larangan bersuara yang dipohon ke atas anak guamnya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.





