WAWANCARA | Perlu ada "give and take" ataupun kompromi dalam agihan kerusi antara BN dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan tidak lama lagi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii berkata PN seharusnya memberi ruang kepada BN untuk mentadbir negeri di selatan tanah air dan begitu juga kompromi perlu berlaku di negeri-negeri dikuasai PN.
"Agihlah kerusi di Melaka ini sehabis baik, katakanlah BN bagus di dalam (negeri di) Selatan, bagilah BN mentadbir Selatan.
"Di utara, di Timur nanti, sampai tahap sana nanti awak (PN) tadbirlah sana. Kalau ada persefahaman sebegini ada elok.
"...kat Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis negeri ini perlu juga mentadbir bersama dengan BN dan saya harapkan bila ada rundingan kerusi terjadi mungkin ada lebih kurang juga dan juga mungkin ada give and take," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Razlan berkata dia berharap tiada pihak yang mencari jalan pemisah dengan mengemukakan analisis tertentu yang hanya cenderung kepada kepentingan masing-masing.
"Jangan kita cari jalan pemisah. (Cadangan berdasarkan) analisis ni semua jalan pemisah...jalan pemisah untuk mencari alasan (supaya) perundingan itu gagal. Kami dalam BN dan mereka dalam PN kena berlapang dada bincang sama-sama," tambahnya.
Contohi Negeri Sembilan
Mengulas lanjut, Razlan berkata jika di Negeri Sembilan, BN dan PN boleh mencari jalan penyelesaian, tiada sebab untuk ia tidak berlaku di Melaka.
Sebelum ini BN bertanding di 25 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung pada 1 Ogos lalu.
Keputusan itu dibuat susulan persefahaman dicapai dengan PN, dengan gabungan itu diberi 11 kerusi untuk ditandingi.
Persefahaman itu menyaksikan kejayaan BN dan PN merampas kembali Negeri Sembilan yang sebelum ini dikuasai Pakatan Harapan (PH) selama lapan tahun.
Pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu, gabungan BN dan PN membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga selepas memenangi 25 daripada 36 kerusi.
"Bincang elok-elok, kita boleh cari jalan penyelesaian di Negeri Sembilan, takkan tak boleh di Melaka," katanya lagi.
Sementara itu, mengenai keberadaan BN dalam kerajaan Madani, Razlan yang juga salah seorang Setiausaha Politik kepada Ahmad Zahid Hamidi berkata menteri BN "diikat" dan tidak diberi kebebasan sepenuhnya.
"Banyaklah (diikat)...tapi saya angkat sumpah sebagai setiausaha politik saya tak boleh dedah benda tu.
"Banyak perkara yang kita tak boleh buat dari segi pembangunan, agensi, contohnya Felda...(Ketua Pemuda PKR) Kamil Munim mengatakan Felda di bawah Zahid, Perdana Menteri pula kata dia jaga Felda, ini satu contoh," katanya lagi.





