Terinspirasi oleh peralihan sokongan pengundi Cina daripada DAP kepada Warisan dalam pilihan raya Negeri Sabah November lalu, Wawasan Negara (Wawasan) berhasrat mengulangi kejayaan itu di Semenanjung dengan memposisikan diri sebagai parti berbilang kaum yang sederhana dalam Perikatan Nasional (PN) yang didominasi PAS, yang masih menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi bukan Islam.
Ketua Penerangan Wawasan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata Wawasan ditubuhkan berikutan perbincangan dan konsensus dalam kalangan kepimpinan tertinggi PN, selepas beberapa pemimpinnya menghabiskan masa di luar parti masing-masing.
Dia menambah bahawa idea itu turut disokong oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menyedari keperluan terhadap sebuah parti berbilang kaum baharu bagi melengkapi PAS dalam gabungan PN.

“Sokongan pengundi Melayu terhadap PN telah terbukti sejak Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15), namun sokongan itu dilihat telah mencapai tahap tertentu sehingga memerlukan strategi baharu sekiranya gabungan berkenaan mahu membentuk kerajaan di Putrajaya.
“Antara nasihat yang diberikan oleh Abdul Hadi kepada Hamzah Zainuddin, perlu diwujudkan sebuah parti baharu untuk melengkapi PAS dalam Perikatan Nasional, iaitu parti yang berbilang bangsa dan kaum,” katanya yang dipetik oleh Harakah.
Musuh ketat
Pada satu ketika, PAS pernah menikmati sokongan signifikan dalam kalangan bukan Islam semasa menjadi sebahagian daripada gabungan pembangkang bersama DAP, yang kini menjadi musuh ketatnya.
Persaingan politik yang sengit itu turut memarakkan dorongan PAS untuk mewujudkan perpaduan yang lebih besar dalam kalangan parti Melayu-Islam, kononnya bagi memelihara kepentingan Melayu dan Islam daripada apa yang digambarkannya sebagai ancaman semakin meningkat terhadap kedudukan mereka, terutamanya daripada DAP.

DAP pula menuduh PAS menjaja naratif palsu untuk menyemai ketakutan dalam kalangan pengundi Melayu.
Mengulas mengenai kejayaan Warisan di Sabah, apabila DAP kalah di semua lapan kerusi yang ditandingi, Wan Fayshal mengakui bahawa situasi di Semenanjung adalah berbeza kerana persepsi terhadap PN dan PAS masih menjadi cabaran dalam kalangan sebahagian pengundi Cina dan India.
“Ini membuatkan ada satu keperluan untuk kita anjak PN ini ke tengah sedikit. Kita dah di kanan, kita nak anjak ke tengah sedikit dengan cara ada satu lagi parti komponen yang majmuk sifatnya,” katanya.
Beza Wawasan daripada Bersatu
Anggota Parlimen Machang itu mendakwa Wawasan berjaya menarik bekas anggota Bersatu dan beberapa parti lain menerusi barisan kepimpinannya yang menggabungkan pengalaman pemimpin terdahulu dengan generasi baharu.
Walau bagaimanapun, Wan Fayhsal, bekas pemimpin Bersatu, menegaskan bahawa Wawasan berbeza daripada parti yang dianggotainya sebelum ini, dengan mempunyai watak, identiti dan falsafah politik tersendiri.

Dia berkata parti itu berusaha untuk mencerminkan watak dan semangat Perlembagaan Persekutuan dengan mengekalkan kedudukan orang Melayu dan Islam sebagai teras kepimpinannya, sambil membuka keanggotaan dan jawatan kepimpinan tertinggi kepada bukan Melayu.
“Semua boleh rebut jawatan yang ada dalam perlembagaan (Wawasan Negara) kecuali Presiden. Presiden kena Melayu dan Islam,” jelasnya.
Wan Fayshal turut memuji presiden partinya kerana memainkan perananan penting dalam mengukuhkan hubungan antara BN dan PN.
Wawasan kukuhkan hubungan PN - BN
Menurutnya, Hamzah mempunyai pengalaman berkhidmat sebagai jambatan antara pemimpin Umno dan PAS, selain pernah menjadi operator kepada beberapa pemimpin negara sebelum ini.
Hamzah, katanya, turut turun ke ke kawasan bagi memastikan kerjasama pada peringkat akar umbi benar-benar berjalan.
Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Wan Ahmad Fayhsal berkata dia menjangkakan PN dan BN mempunyai potensi untuk membentuk kerajaan jika formula kerjasama mereka dapat dikekalkan tanpa halangan besar.
Dia juga melihat jurang kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sebagai antara faktor yang boleh mempengaruhi perkembangan politik menjelang pilihan raya akan datang.
Katanya, sekiranya PN dan BN berjaya membentuk kerajaan, kemenangan itu bukan sekadar untuk kembali ke Putrajaya, sebaliknya perlu disusuli usaha menyelesaikan pelbagai isu negara yang masih tertangguh termasuk berkaitan Tabung Haji.

“Saya nampak PN dan BN sedang berada di satu landasan yang, insya-Allah kalau tiada aral yang melintang, kita akan berjaya kembali ke Putrajaya,” katanya.
Wawasan dilancarkan oleh Hamzah berikutan pemecatannya daripada Bersatu pimpinan bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Dalam penampilan sulungnya pada pilihan raya Negeri Sembilan, parti itu memenangi tiga daripada empat kerusi yang ditandingi, berbeza dengan Bersatu yang gagal memenangi sebarang kerusi daripada 24 kerusi yang ditandingi.





