Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang khas bagi menjamin semua anggota parlimen (MP) termasuk daripada barisan pembangkang menerima peruntukan yang sama rata.
Menteri Digital itu berkata, reformasi berkenaan perlu dilaksanakan segera dan tidak boleh bergantung semata-mata kepada budi bicara kerajaan yang memerintah pada sesuatu ketika.
"Kita mahu ini menjadi reformasi kekal, bukan sekadar reformasi kerajaan," katanya kepada pemberita di KL Sentral hari ini, ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kongres Nasional PKR Ahad lalu.
Gobind yang juga anggota Parlimen Damansara turut menggesa agar undang-undang sedia ada diperkukuh bagi membolehkan perkara itu diinstitusikan secara kekal, dan bukan sekadar bergantung kepada dasar kerajaan semasa.
Katanya, DAP sebelum ini berulang kali telah membangkitkan isu tersebut kepada Anwar.
"Saya akan bangkitkan isu ini dengan beliau sekali lagi," katanya, sambil menambah bahawa kenyataan lanjut mengenai perkara itu akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Sebelum ini, Anwar dalam ucapan ketika sesi penggulungan kongres itu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), mengumumkan tambahan peruntukan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara, yang akan disalurkan terus untuk rakyat.
Perdana menteri turut menegaskan bantuan kerajaan tidak akan didiskriminasikan berdasarkan kecenderungan politik sesebuah kawasan, sekali gus menolak dakwaan bahawa kerajaan menyekat peruntukan pembangunan kepada negeri yang ditadbir pembangkang.
Mengulas lanjut, Gobind berkata pengumuman tambahan RM1 juta tersebut wajar disambut baik kerana ia akan memberi manfaat langsung kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Namun begitu, dia menegaskan perkara yang lebih penting ialah memastikan peruntukan yang sama rata diberikan kepada semua anggota parlimen tanpa mengira parti politik.
"Dalam manifesto kami, kami menyatakan bahawa kita perlu memberikan peruntukan yang sama kepada semua anggota parlimen. Ini adalah salah satu perkara yang perlu kita laksanakan sekarang.
"Setiap wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat di sesebuah kawasan mempunyai tanggungjawab untuk memenuhi keperluan penduduk di situ, dan tanggungjawab itu sama bagi semua ahli parlimen tanpa mengira parti.
"Saya harap Perdana Menteri dapat mengambil langkah bagi memastikan peruntukan yang sama rata diberikan kepada semua ahli parlimen, tidak kira daripada parti politik mana sekalipun," katanya lagi.





