28 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 16, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Penulis wanita bincang dengan DBP, gesa tindakan isu gangguan seksual

    Shopee Sale

    Sekumpulan penulis wanita mengadakan perbincangan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi membincangkan langkah menangani dakwaan gangguan seksual dalam dunia sastera, selain melancarkan gerakan Women Writers' Vanguard – Pen Your Own Word with Empowered Resilience (WWV-P.O.W.E.R) sebagai tanda solidariti terhadap mangsa.

    Gerakan itu diasaskan oleh 10 ahli jawatankuasa penaja, iaitu Sitiroy Tan, Sarah Ross, Maghfirah TMZ, Ana Balqis, Aminah Mokhtar, Thanusya Shanmuganathan, Suhaila Awang, Noraida Che Mustafa, Nur Eiklah Tulha dan Clariessa Kesulai.

    Menurut kenyataan gerakan itu, WWV-P.O.W.E.R diwujudkan bagi menghimpunkan sokongan komuniti sastera untuk membina ekosistem yang selamat, bermaruah dan bebas daripada gangguan seksual, gangguan berasaskan jantina serta penyalahgunaan kuasa.

    Katanya, setiap penulis wanita berhak menghasilkan karya dalam suasana yang menghormati maruah, keselamatan dan hak asasi.

    Orang ramai, khususnya penulis dan penggiat sastera, turut digalakkan mengisi borang dalam talian yang disediakan bagi menyatakan sokongan serta membantu usaha dokumentasi gerakan itu.

    Sementara itu, Sitiroy Tan atau nama sebenarnya Siti Rohayah Attan memaklumkan menerusi Facebook bahawa dia bersama beberapa wakil penulis wanita mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Juhari.

    "Terima kasih Datuk Dr Hazami Juhari, Ketua Pengarah DBP kerana sudi mendengar resah kami, penulis wanita. Perbincangan rasmi yang santai dan penuh jujur.

    "Sama-sama kita membersihkan sampah sarap," katanya.

    Pengumpulan bukti

    Ketika dihubungi Malaysiakini, Pengarah Urusan CTRA Production itu berkata, pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu memberi tumpuan kepada tindakan yang boleh diambil serta keperluan mengumpulkan bukti yang mencukupi sebelum sebarang keputusan dibuat.

    "Dakwaan semata-mata tanpa bukti tidak akan membantu sekiranya perkara ini dibawa ke saluran undang-undang.

    "Fokus utama adalah mencari penyelesaian terbaik agar isu ini dapat ditangani dengan baik," katanya.

    Siti berkata dia turut menjadi mangsa gangguan seksual menerusi mesej yang diterimanya di telefon bimbit miliknya dan telah membuat laporan polis pada 7 Julai lalu di Balai Polis Taman Sri Gombak.

    MENARIK:  Jangan belit, Anwar - Bebaskan Najib jika dia tak salah, kata Latheefa

    Katanya, langkah itu diambil bagi menyokong siasatan dan menggalakkan lebih ramai mangsa tampil membuat laporan rasmi.

    Menurut Siti, dakwaan yang dibangkitkan bukan sahaja melibatkan gangguan melalui media sosial, malah turut membabitkan gangguan secara fizikal.

    Dia berkata bukti berkaitan dakwaan itu mula dikumpulkan selepas isu berkenaan sekian lama diperkatakan tanpa tindakan rasmi diambil. Sebelum ini, kebanyakan dakwaan hanya tersebar dari mulut ke mulut tanpa laporan rasmi yang membolehkan tindakan diambil mengikut undang-undang.

    Siti berkata perbincangan bersama DBP diadakan kerana agensi itu memainkan perananan penting dalam pembangunan dan pemantauan bidang sastera negara, selain menjadi penganjur pelbagai program yang melibatkan penulis.

    Menurutnya, kebanyakan penulis terlibat dalam program anjuran DBP, justeru agensi itu perlu peka sekiranya terdapat individu yang didakwa melakukan gangguan atau tindakan yang boleh menjejaskan perkembangan sihat dunia sastera.

    "Sebagai badan yang memantau perkembangan sastera, kita tidak seharusnya menggalakkan perkara seperti ini terus berlaku," katanya.

    Sebelum ini, Sarah Ross dan Maghfirah TMZ membuat laporan polis selepas mendakwa menerima mesej berbaur seksual daripada seorang tokoh sastera.

    Kedua-duanya turut berkongsi pengalaman di media sosial dan menggesa lebih ramai mangsa tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.

    Sementara itu, Persatuan Penulis Nasional Kavyan (Kavyan) turut menggesa siasatan menyeluruh dijalankan, manakala DBP memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah