Apabila isu curang terbongkar, kemarahan, kecewa dan rasa dikhianati sering membuatkan seseorang bertindak mengikut emosi.
Ada yang terus memilih untuk berpisah, ada yang cuba memaafkan, malah tidak kurang juga yang membawa konflik tersebut ke media sosial atau menyeret ahli keluarga dan rakan-rakan.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Tony Eusoff Kongsi Pengalaman Bercinta Dengan Janda Anak Dua, Berpisah Selepas 9 Tahun Bersama
Artikel Berkaitan: Tony Eusoff Belum Terfikir Nak Kahwin, Mahu Fokus Jaga Ibu – ‘Dia Duduk Seorang Di Kampung’
Selesaikan Dengan Matang
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain di fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk kita melihat sesuatu perkara dari sudut yang berbeza.
Untuk edisi hari ini, POV XTRA bertanya pendapat pelakon versatil Tony Eusoff mengenai pandangannya isu curang yang semakin hangat menjadi perdebatan ramai.
Walaupun masih bujang dan belum mempunyai pengalaman berumah tangga, Tony berkata pandangannya terbentuk selepas melihat sendiri beberapa kenalan berdepan isu kecurangan dalam hubungan.
Menurut Tony, langkah pertama yang perlu dilakukan oleh pasangan ialah cuba menyelesaikan konflik tersebut secara tertutup dan matang.
Baginya, terlalu ramai pihak yang masuk campur boleh menyebabkan keadaan semakin keruh, apatah lagi apabila masing-masing mula memberi pendapat tanpa mengetahui keseluruhan cerita.
Kalau boleh, elakkan daripada bergaduh dengan orang. Misalnya kalau pasangan sendiri curang, cuba selesaikan antara kita sahaja. Jangan libatkan orang luar kalau tidak perlu.
Tak manis kalau masalah rumah tangga dibawa kepada orang luar. Biarlah masalah itu kekal dalam rumah tangga sahaja, kecuali salah seorang daripada pasangan itu sendiri meminta bantuan
Selagi dia tidak meminta pertolongan ahli keluarga atau kawan, saya rasa rumah tangga itu adalah satu unit yang suci. Orang luar tidak ada hak untuk masuk campur.
Curang Boleh Dimaafkan Atau Tidak?
Bagi Tony, tidak ada jawapan yang boleh digunakan untuk semua pasangan kerana setiap hubungan mempunyai cerita, luka dan keadaan yang berbeza.
Perkara ini tak boleh dipukul rata. Setiap kes rumah tangga yang berpecah-belah itu unik dan berlainan.
Nak cari satu jalan penyelesaian yang sama untuk semua memang tidak ada.
Ada pasangan yang memilih untuk memaafkan demi memperbaiki hubungan. Ada juga yang merasakan kepercayaan sudah terlalu rosak untuk dipulihkan.
Apa juga keputusan yang dibuat, Tony berpendapat pasangan perlu menenangkan diri terlebih dahulu sebelum menentukan hala tuju hubungan mereka.
Saya rasa kita perlu berpegang kepada prinsip bertenang, kalau boleh setenang-tenangnya. Cuba atasi masalah itu secara matang, terutama apabila melibatkan anak-anak kerana keadaan akan menjadi lebih rumit.
Jangan Paksa Kawan ‘Take Side’
Tony turut berkongsi pengalaman apabila dirinya pernah terheret dalam konflik rumah tangga rakan sendiri.
Menurutnya, keadaan menjadi serba salah apabila seseorang meminta rakan memilih pihak, sedangkan kedua-dua individu yang sedang bergaduh merupakan kenalan rapat.
Kita kena cuba bersikap rasional. Kalau boleh, jangan biarkan orang lain terasa tempias. Saya sendiri pernah kena. Kawan yang bergaduh dengan pasangan, saya pula yang terkena tempias sebab dia ajak saya untuk ‘take side’.
Perkara itu tak boleh sebab suami dan isteri itu kedua-duanya rakan saya. Nak pilih pihak bagi saya kurang cerdik dan tak wajar. Walaupun kadang-kadang saya lebih rapat dengan si suami, prinsip saya tetap sama. Saya tak akan ‘take side’.
“Pernah salah seorang daripada mereka minta saya supaya tidak keluar atau berjumpa dengan bekas pasangan mereka. Saya cakap, saya tak ada masalah dengan dia. Yang ada masalah adalah kalian berdua.
“Terpulang kepada saya sama ada nak keluar dengan siapa. Yang penting, saya tak bermusuhan dengan mana-mana pihak. Lebih baik berterus terang daripada bersikap dua muka. Pernah juga sampai bergaduh, tetapi kita perlu tetap dengan pendirian.
The post POV XTRA: Pasangan Curang Patut Dimaafkan? Tony Eusoff Pesan Jangan Buka Pekung Rumah Tangga first appeared on OHBULAN!.





