PRK MAHKOTA | Malaysiakini membawakan perkembangan semasa proses pengundian hari ini melalui laporan pasukan wartawan di lapangan.
8.10 pagi, Jalan Nyior - Seorang surirumah, Kong Ah Mui, 61, berjalan selama 15 minit dari rumahnya untuk membuang undi pagi ini.
Dia yang mempunyai enam orang anak bagaimanapun tidak pasti sama ada mereka akan pulang ke Mahkota untuk mengundi atau sebaliknya.
Kata Kong, anak-anaknya bekerja di luar bagi membantu dia dan suami yang tidak bekerja.
"Saya datang awal kerana suami saya perlukan seseorang untuk menjaganya, jadi saya akan terus pulang selepas ini," katanya.
Dua puluh pusat mengundi bersama 109 saluran mula dibuka tepat jam 8 pagi ini untuk membuka ruang kepada 61,247 pengundi berdaftar mengangkat wakil rakyat baru mereka.
Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya sudah mengeluarkan 607 kertas undi pos pada 15 Sept.
Pengundian awal pula berlangsung pada 24 Sept untuk 4,437 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan masing-masing, serta anggota polis di tiga pusat pengundian awal.
Secara keseluruhan terdapat 66,318 pengundi di DUN Mahkota dengan 56 peratus daripadanya adalah Melayu, diikuti Cina (34 peratus), dan India (lapan peratus).





