Seorang pekerja restoran dari India yang bekerja di Malaysia selama tiga tahun lalu membuat rayuan hiba memohon bantuan daripada Ketua Menteri Tamil Nadu Joseph Vijay, mendakwa dia disiksa oleh majikannya.
Dalam rayuan video yang menarik perhatian media di Tamil Nadu, lelaki itu sambil menanggis memperkenalkan dirinya sebagai Chinnarasu dari sebuah kampung di Kallakurichi. Dia merayu Vijay untuk campur tangan dan membantunya pulang ke tanah air.
“Saya datang ke Malaysia untuk bekerja tiga tahun lalu. Semasa saya bersiap untuk pulang ke (Tamil Nadu), mereka bawa saya ke sini, buat tuduhan palsu (terhadap saya), dan menyiksa saya.
“Hanya kamu yang boleh selamatkan saya. Tolong selamatkan saya,” katanya dalam video berkenaan, dengan sedutan klip video itu dikongsi oleh portal berita Tamil, Vanakam Malaysia.

Vanakam Malaysia melaporkan bahawa Chinnarasu tiba di Malaysia pada 2023 untuk bekerja di sebuah restoran dan kini mendakwa dia ditahan tanpa kerelaannya serta disiksa oleh majikannya.
Ibu bapanya juga dilaporkan membuat rayuan hiba menerusi media India, merayu bantuan untuk membawa anak lelaki mereka pulang.
Bagaimanapun, Vanakam Malaysia memaklumkan tiada maklumat mengenai keberadaan Chinnarasu atau butiran lanjut berhubung dakwaannya buat masa ini.
Vijay, bekas pelakon yang menjadi ahli politik, mencipta kejutan besar dalam pilihan raya negeri Tamil Nadu pada Mei lalu, apabila parti politiknya yang berusia dua tahun menumbangkan dua parti lama yang bertukar-tukar kuasa selama berdekad-dekad.
Pembela hak asasi manusia berkata tekanan asas, termasuk keadaan kerja dan tempat tinggal yang buruk seperti waktu kerja yang panjang, hutang perekrutan, kediaman sempit, ketakutan diberhentikan kerja, serta saluran aduan yang terhad, terus menyelubungi pekerja migran.
Terdapat juga laporan mengenai pekerja migran di Malaysia yang berdepan eksploitasi sistematik dan pelanggaran hak buruh yang teruk.
Pada Mei lalu, Kementerian Sumber Manusia berkata pihaknya sedang memurnikan reformasi bagi menangani pelanggaran hak buruh dan tekanan kewangan.





