Penyanyi dan komposer, Noh Salleh meluahkan rasa syukur apabila karya terbaharunya berjudul Sang Penikam 2026 yang dinyanyikan bersama Aina Abdul dipilih sebagai lagu tema (OST) bagi drama Viu Original, Cinta Dalam Sekam.
Artikel Berkaitan: Amir Ahnaf Tak Kisah Hyrox Dilabel Sukan ‘Fomo’, Dedah Pernah Wakil Terengganu Di SUKMA Main Ragbi
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ieda Moin Kecewa Bayaran Lakonan ‘Mengarut’ – ‘Ada Artis Sanggup Ambil Harga Rendah’
OST Cinta Dalam Sekam

Noh atau nama lengkapnya Mohammad Noh Salleh Sadeli, 41, berkata, pemilihan lagu tersebut merupakan satu penghargaan besar buat dirinya kerana percaya sesebuah karya akan lebih mudah sampai ke hati pendengar apabila dipadankan dengan jalan cerita yang kuat.
Saya amat menghargai peluang untuk menghiasi Cinta Dalam Sekam menerusi lagu Sang Penikam nyanyian bersama Aina Abdul.
Bagi saya, tiada platform yang lebih sesuai untuk memperkenalkan lagu ini selain sebuah drama bersiri yang mempunyai jalan cerita dan emosi yang begitu kuat.
Saya berharap lagu ini dapat memberi dimensi yang lebih mendalam kepada perjalanan cerita serta menyentuh hati para penonton.
Noh berkata demikian selepas mempersembahkan lagu Sang Penikam 2026 bersama Aina Abdul buat pertama kali pada majlis pelancaran drama Viu Original, Cinta Dalam Sekam yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.
Lebih membanggakan, lagu tersebut turut mencipta fenomena apabila berjaya menduduki tangga pertama carta iTunes Malaysia, selain berada di kedudukan keenam dalam senarai YouTube Trending.
Dalam perkembangan sama, drama Cinta Dalam Sekam turut mencatat kejayaan membanggakan apabila muncul sebagai drama paling popular di Viu Malaysia hanya dalam tempoh seminggu selepas tayangan perdananya.
Pencapaian itu sekali gus membuktikan sambutan luar biasa penonton terhadap naskhah arahan Feroz Kader yang mengangkat kisah cinta, pengorbanan dan rahsia silam dengan latar era 1980-an, selain menampilkan barisan pelakon seperti Siti Khadijah Halim, Amir Ahnaf dan Haidar Hasanudin.
Fenomena drama itu turut diterjemahkan menerusi prestasi digital yang memberangsangkan apabila tanda pagar #CintaDalamSekam merekodkan lebih 21 juta tontonan di pelbagai platform media sosial menerusi perkongsian klip drama, video pendek serta perbualan aktif dalam kalangan pengguna internet.
Malah, drama berkenaan terus menjadi bualan hangat di Threads apabila ramai penonton memuji kekuatan jalan cerita, sinematografi yang berkualiti, mutu lakonan para pelakon serta elemen emosi yang berjaya menyentuh hati.
Rata-rata penonton turut menyifatkan lakonan Siti Khadijah, Amir dan Haidar sebagai antara kekuatan utama drama tersebut.
The post Noh Salleh Terharu ‘Sang Penikam 2026’ Dipilih Sebagai OST ‘Cinta Dalam Sekam’, Duduki Tangga Pertama Carta iTunes first appeared on OHBULAN!.





