Penggunaan Jata Negara yang salah pada sebuah poster berkaitan peraturan kawalan bekalan petrol RON95 mencetuskan teguran awam, khususnya di media sosial.
Isu itu menjadi hangat setelah seorang warganet memuat naik hantaran di Threads mengenai jata itu di stesen minyak Shell di Kuala Lumpur yang kemudiannya tular.
Jata itu walaupun kelihatan mirip sebenarnya berbeza jika diteliti secara dekat.
Antaranya, tulisan yang sepatunya berbunyi “Bersekutu Bertambah Mutu” tidak boleh dibaca, termasuk dalam tulisan Jawi.
Begitu juga dengan gambar keris, bintang pecah 14, lambang negeri Pulau Pinang, Jata Sarawak dan bunga raya–hampir kesemua elemen tidak sama seperti sepatutnya.
Poster itu memaparkan poster peraturan penggunaan petrol RON95 bermula 1 April 2026 dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Ia turut memaparkan nama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pengguna maya yang meluahkan rasa kesalnya di internet itu beranggapan ia mungkin dijana oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).
Mereka mempersoal keperluan penggunaan AI sedangkan ia boleh diperoleh dari sumber rasmi yang sahih.
Sumber mengesahkan kesilapan di stesen minyak di Kuala Lumpur itu tetapi ia telah pun diturunkan.
Semakan Malaysiakini mendapati terdapat stesen lain turut menerima grafik peraturan itu tetapi belum menampalnya.
Pengurus sebuah stesen minyak Shell di Petaling Jaya Mohd Zailani Bohari berkata dia juga menerima poster yang salah tetapi bukan mereka yang menghasilkannya.
“Bukan kami yang sembarangan edit poster tersebut,” katanya apabila ditanya oleh Malaysiakini.
Portal ini juga sedang cuba menghubungi Shell Malaysia bagi mendapatkan penjelasan mereka.





