PKR Melaka hari ini berpendapat, sekarang adalah masa terbaik untuk PAS membuktikan mereka benar-benar memiliki kekuatan yang kukuh dengan bergerak sendirian dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.
Ketua Penerangan PKR Melaka, Eddiarman Mohd Yunos, berkata ketika ini pun PAS sudah menghantar isyarat jelas yang mereka tidak lagi selesa bergerak bersama Bersatu dalam PN.
Katanya ia dapat ditafsir melalui kenyataan ketua penerangan parti itu, Ahmad Fadhli Shaari semalam.
Menurut Eddiarman, ahli parlimen PAS itu nampak sangat jujur apabila memberikan pandangan mengenai kerjasama dengan Bersatu, khususnya dalam konteks ahli-ahli parti yang dilihat berada dalam keadaan serba salah sekarang.
“Jika benar PAS merasakan mereka mempunyai kekuatan akar umbi, jentera yang mantap dan sokongan rakyat yang kukuh, maka inilah masanya untuk membuktikannya secara bersendirian.
“Lagipun sebelum ini juga kononnya ada parti yang bergabung dengan PAS hanya dianggap buat pekak serta didakwa telah mempergunakan jentera PAS untuk gerak kerja parti mereka.
“PKR Melaka juga merasakan rakyat sudah lama menunggu PAS tampil dengan keyakinan sebagai parti yang benar-benar bersedia memimpin negara, bukan sekadar menjadi penumpang dalam mana-mana gabungan politik seperti PN mahupun Muafakat Nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdiri tanpa bantuan tongkat
Tambah Eddiarman, sebagai sebuah parti yang sering menguar-uarkan yang mereka memiliki keanggotaan begitu ramai dan menjadi pertubuhan politik terbesar di negara ini, bertanding secara solo adalah medan terbaik buat PAS mengukur sejauh mana dakwaan tersebut boleh diterjemahkan di hadapan rakyat yang sedang memerhati.
“Lebih menarik jika dilihat komen di media sosial, rakyat kini semakin ingin mengetahui apakah hala tuju sebenar PAS di peringkat nasional.
“Adakah PAS sekadar mahu menjadi pengkritik kerajaan, jadi penumpang gabungan politik, penunggang isu atau benar-benar bercita-cita menerajui Putrajaya?” katanya lagi.
Persaoalan tersebut lebih relevan, katanya, kerana ada pemimpin PAS yang berpendapat, kedudukan sebagai ketua pembangkang bukan semestinya menjadi calon perdana menteri.

Kenyataan tersebut, menurut Eddiarman, secara tidak langsung menimbulkan tanda tanya besar mengenai siapakah sebenarnya calon perdana menteri PAS untuk PRU ke-16 nanti.
“Jika PAS serius mahu dilihat sebagai parti yang layak memimpin Malaysia, maka mereka perlu mula menonjolkan kepimpinan nasional mereka dengan lebih jelas.
“Rakyat berhak tahu siapakah tokoh yang bakal diketengahkan, apakah visi yang dibawa dan sejauh mana PAS yakin untuk berdiri atas kekuatan sendiri tanpa bergantung kepada parti-parti lain,” katanya.
Sebagai langkah permulaan, tambah Eddiarman, PKR Melaka mencadangkan agar PAS mengetepikan Bersatu semasa menghadapi PRN tidak lama lagi.
“Gunakanlah PRN Melaka sebagai pentas membuktikan kekuatan sebenar PAS terutama di kerusi tradisi yang dipertahankan oleh DAP.
“Jangan sekadar menjadi juara dalam ceramah atau media sosial, sebaliknya buktikan ia di medan pilihan raya.
“Ini adalah masa untuk PAS menunjukkan gelombang sokongan yang sering dicanang-canangkan. Inilah masanya untuk rakyat melihat sendiri sejauh mana PAS mampu berdiri tanpa tongkat daripada sesiapa,” katanya.





