Pemuda Bersatu (Armada) menyuarakan sokongan penuh ketetapan agar lima jawatan tertinggi tidak dipertandingkan dalam pengundian parti Oktober ini.
Ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata ia bagi memastikan keharmonian dan kesepaduan dalam Bersatu dalam menghadapi cabaran politik semasa.
"Ini formula terbaik demi kestabilan parti dan mengukuhkan lagi kedudukan PN yang semakin mendapat tempat dan sokongan di hati rakyat yang berbilang kaum dan agama.
"Fokus utama Bersatu kini adalah menjadi pembela kepada rakyat di saat kerajaan 'lembu kenyang' yang pekak pada hari ini telah gagal untuk mendengar rintihan dan keluhan rakyat. Maka, kudrat dan tumpuan seluruh anggota parti perlu ditumpukan ke arah usaha ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketika berucap dalam konvensyen Bersatu pada 13 Julai lalu, presidennya Muhyiddin Yassin berpesan agar ahli dan pemimpin akar umbi parti yang ingin bertanding dalam pengundian parti akan datang supaya berunding sesama mereka terlebih dulu, bagi mengelakkan pertembungan dan perpecahan.

Muhyiddin juga berkata kepimpinan tertinggi Bersatu telah setuju agar setiausaha agung Hamzah Zainudin akan menggantikan Ahmad Faizal Azumu sebagai timbalan presiden, manakala Ahmad Faizal akan mengisi salah satu daripada tiga kerusi naib presiden.
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali pula akan ditawarkan jawatan setiausaha agung.
Bagaimanapun, naib presiden Ronald Kiandee berkata barisan itu hanyalah satu cadangan, dan tiada usul dikemukakan agar mana-mana jawatan tidak dipertandingkan dalam pengundian nanti.
“Kita masih pertandingkan (jawatan dalam parti), tetapi kita ada semangat musyawarah, perundingan yang baik dipersetujui oleh perwakilan. Masih pertandingan terbuka … tetapi telah dirunding dan dibincang secara baik bersama," katanya seperti dipetik Bernama.





