29 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 25, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Pemegang kad UNHCR tak kebal dari undang-undang

    Shopee Sale

    Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak kebal daripada undang-undang Malaysia, kecuali dua pengecualian di bawah Akta Imigresen, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

    Menurut Saifuddin pengecualian itu melibatkan kesalahan tinggal lebih masa dan memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

    Selain kesalahan tersebut, katanya, pemegang kad UNHCR boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang Malaysia.

    “Jika mereka mencuri, mereka tetap melakukan kesalahan. Jika mereka memandu tanpa lesen, tindakan juga boleh diambil terhadap mereka.

    “Pemegang kad UNHCR tidak kebal daripada undang-undang Malaysia. Pengecualian hanya terpakai kepada dua peruntukan di bawah Akta Imigresen,” katanya kepada pemberita di Perak hari ini.

    Saifuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai mekanisme perlindungan bagi mengelak pemegang Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) terus berada di Malaysia tanpa had melalui pembaharuan status, selain tempoh maksimum mereka boleh berada di bawah sistem itu sebelum dihantar pulang atau ditempatkan semula di negara ketiga.

    Bagaimanapun, dia tidak menyatakan tempoh maksimum seseorang boleh kekal di bawah perlindungan DPP atau akan ada had melalui pembaharuan status mereka.

    Menteri itu mengulangi bahawa kerajaan mula mendaftarkan pelarian di bawah sistem DPP bagi mendapatkan data lebih tepat dan menentukan sama ada pemohon benar-benar layak diberikan status pelarian.

    “Kerajaan sendiri akan menjalankan proses pendaftaran pelarian. Kita menamakan inisiatif ini sebagai Dokumen Pendaftaran Pelarian atau DPP.

    “Kita telah memulakan proses itu,” katanya.

    Penjelasan Saifuddin itu dibuat ketika berlaku peningkatan sentimen kebencian dan maklumat palsu dalam talian yang menyasarkan pelarian Rohingya di Malaysia, termasuk dakwaan bahawa mereka merampas hak pekerjaan dan tanah milik rakyat.

    Lalui tapisan keselamatan

    Petikan palsu, video yang dimanipulasi, statistik rekaan dan imej yang dijana menggunakan kecerdasan buatan dilaporkan tersebar di media sosial, manakala satu petisyen dalam talian yang menggesa pengusiran Rohingya dari Malaysia mendapat hampir 500,000 tandatangan.

    DPP dilancarkan pada Jan lalu sebagai sistem pendaftaran dan pengenalan pelarian yang dikendalikan kerajaan dengan tujuan memberikan pihak berkuasa Malaysia kawalan langsung terhadap data, pengesahan dan pemantauan pelarian.

    Fasa pertama sistem itu hanya melibatkan individu yang ditahan di pusat tahanan imigresen, dengan UNHCR pada ketika itu memberi amaran bahawa dakwaan aktiviti pendaftaran DPP di luar kemudahan tersebut adalah tidak sah.

    Kerajaan sebelum ini berkata sistem itu akan menyimpan maklumat peribadi dan biometrik pelarian, dan mereka yang disahkan sebagai pelarian akan diberikan DPP sebagai satu-satunya dokumen pengenalan pelarian yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Malaysia.

    Mengulas lanjut Saifuddin berkata kumpulan pertama yang diberi keutamaan terdiri daripada kira-kira 21,000 tahanan imigresen, dengan sekitar 4,000 daripada mereka mendakwa mempunyai status pelarian.

    MENARIK:  BN perlu menang Mahkota, jadi momentum PRN Sabah - Bung

    “Bagaimanapun, sama ada mereka benar-benar layak sebagai pelarian atau tidak akan ditentukan melalui proses pengesahan.

    “Mereka akan menjalani tapisan keselamatan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, polis dan agensi berkaitan lain.

    “Segala-galanya akan direkodkan. Ini adalah proses yang sedang kita laksanakan sekarang,” katanya.

    Selepas proses itu selesai, tambah Saifuddin, kerajaan akan menentukan sama ada seseorang pemohon layak diberikan status pelarian atau sebaliknya.

    Tambah Saifuddin kerajaan kini bergantung kepada angka UNHCR yang menganggarkan antara 190,000 hingga 200,000 pelarian berada di Malaysia.

    Kebimbangan NGO hak asasi manusia

    Katanya lagi, pelarian di Malaysia hanya berdepan dengan tiga kemungkinan lanjut.

    Pertama, penempatan semula ke negara ketiga melalui UNHCR, manakala yang kedua dihantar pulang ke negara asal sekiranya keadaan di negara tersebut menjadi selamat.

    Ketiga, kata Saifuddin, melibatkan pelarian yang disabitkan dengan kesalahan jenayah di Malaysia, dan mereka hanya akan dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman di negara ini.

    “Itulah sahaja tiga kemungkinan hasilnya,” katanya, sambil menambah pilihan yang sama akan terpakai kepada pemegang DPP.

    Saifuddin turut memaklumkan Malaysia tidak berpuas hati sangat dengan pengurusan pelarian sedia ada oleh pejabat UNHCR di Kuala Lumpur, menyebabkan kerajaan mewujudkan mekanisme pendaftaran sendiri.

    Awal minggu ini, Malaysia mengarahkan UNHCR menghentikan sementara pendaftaran pelarian baru bagi membolehkan kerajaan melaksanakan sistem DPP.

    Timbalan Menteri Luar, Lukanisman Awang Sauni berkata langkah itu bertujuan membolehkan kerajaan menguruskan data pelarian, pengesahan identiti dan pemantauan tanpa bergantung sepenuhnya kepada rekod yang disimpan oleh sebuah organisasi antarabangsa.

    Dia berkata, UNHCR sebaliknya boleh memberi tumpuan membantu pelarian pulang ke negara asal dengan selamat atau mendapatkan penempatan semula di negara ketiga.

    Setakat Februari, lebih 215,000 pelarian dan pencari suaka telah berdaftar dengan UNHCR di Malaysia, dengan etnik Rohingya dari Myanmar membentuk lebih separuh daripada jumlah tersebut.

    Malaysia bukan negara anggota Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mempunyai undang-undang khusus yang secara rasmi mengiktiraf pelarian atau menetapkan hak serta status undang-undang mereka.

    Kumpulan hak asasi manusia sebelum ini membangkitkan kebimbangan terhadap butiran mengenai rangka kerja DPP masih tidak jelas, termasuk kriteria yang digunakan untuk menentukan status pelarian.

    Kerajaan juga masih belum menjelaskan secara terbuka berapa lama tempoh sah DPP, berapa kerap ia boleh diperbaharui dan adakah pemegangnya akan diberikan akses rasmi kepada pekerjaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah