Dalam usaha menyemarakkan lagi pelancongan domestik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), Tourism Malaysia dan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) menjalinkan kerjasama strategik menerusi pelancaran kempen ‘Jom Jalan MYDIN’ bagi menggalakkan rakyat Malaysia meneroka destinasi tempatan sambil menikmati pelbagai ganjaran menarik.
Kempen yang berlangsung hingga 30 September 2026 ini menggabungkan pengalaman membeli-belah dengan pelancongan domestik, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi peruncitan dan memperkasakan produk buatan Malaysia.
Sokong semangat Cuti-Cuti Malaysia

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Dato Sri Tiong King Sing, kerjasama antara sektor awam dan swasta seperti ini mampu menyemarakkan lagi semangat Cuti-Cuti Malaysia dalam kalangan rakyat tempatan.
Beliau berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja membantu memperkukuhkan pelancongan domestik menjelang VM2026, malah menghubungkan orang ramai dengan pelbagai produk serta tarikan tempatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, berkata MYDIN kini bukan sekadar destinasi membeli-belah, malah menjadi platform yang memberi ruang kepada usahawan IKS dan PKS dari seluruh negara untuk memperkenalkan produk mereka kepada pengguna.
Treasure Hunt, promosi & hadiah bernilai keseluruhan RM5 juta

Sepanjang tempoh kempen, pelanggan boleh menikmati pelbagai promosi menarik serta menyertai beberapa aktiviti yang disediakan di cawangan MYDIN terpilih.
Antara yang paling dinanti-nantikan ialah Jelajah Lokal Treasure Hunt 2026, di mana peserta berpeluang menyelesaikan pelbagai cabaran sambil meneroka lokasi dan menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih interaktif.

Selain itu, kempen ini turut menawarkan pelbagai ganjaran dan penjimatan bernilai keseluruhan melebihi RM5 juta, termasuk:
- Pakej pelancongan dalam negara
- Pengalaman pelayaran kapal persiaran
- Penginapan hotel tempatan tajaan Tabung Haji Travel & Services
- Baucar membeli-belah
- Hadiah menarik daripada rakan penaja dan pembekal

Pelanggan juga boleh menikmati pelbagai promosi eksklusif serta menyertai peraduan yang berlangsung sepanjang tempoh kempen.
Kerjasama antara Tourism Malaysia dan MYDIN ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam merancakkan pelancongan domestik serta menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan, khususnya melibatkan sektor peruncitan, penginapan, pengangkutan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Jadi, kalau korang dah lama merancang nak Cuti-Cuti Malaysia, inilah masanya! Sambil membeli-belah di MYDIN, jangan lepaskan peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti dan peraduan menarik yang ditawarkan menerusi kempen Jom Jalan MYDIN.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen, promosi serta penyertaan, layari laman web rasmi MYDIN.
The post Tourism Malaysia & MYDIN Lancar ‘Jom Jalan MYDIN’ Dengan Hadiah Menarik Keseluruhan Lebih RM5 Juta first appeared on OHBULAN!.





