Pemuda PH menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan didakwa menghasut.
Gesaan itu dibuat susulan kenyataan Sanusi dalam ceramah yang antaranya menyebut “Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu”.
“Pihak PDRM wajib mengambil langkah segera untuk mengekang kenyataan sedemikian dan mengambil tindakan penguatkuasaan serta undang-undang terhadap pemimpin sedemikian yang memang berupaya untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara kita,” kata Woo Kah Leong.
Sanusi sebagai pengarah pilihan raya PN malam tadi berkata “Tanah Melayu” merupakan satu-satunya tempat tinggal orang Melayu, tidak seperti kaum lain.
"Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kamboja ada Kamboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja," katanya di Jempol.

Sanusi turut meluahkan kebimbangan terhadap sektor ekonomi yang menurutnya masih menyaksikan pegangan orang Melayu terhenti pada kadar 18 peratus sahaja selepas 50 tahun.
Ketua Pemuda PH itu juga berkata parti-parti komponen BN yang membisu dalam isu itu adalah bersekongkol dengan PN dan wajib ditolak dalam pilihan raya negeri Negeri Sembilan minggu depan.
Dalam kenyataan hari ini, Woo berkata menegaskan bahawa semua warganegara Malaysia tidak kira kaum dan latar belakang memegang kad pengenalan biru yang sama.
“Warganegara Malaysia berbangsa Cina mungkin mampu bertutur Bahasa Cina seperti penduduk China.
“Warganegara Malaysia berbangsa India mungkin pandai bercakap dalam Bahasa Tamil seperti penduduk negara India. Namun ini adalah tidak berkait langsung dengan negara China dan India.
“Tanah air kita adalah Malaysia, bukannya negara lain seperti yang dituduh puak ‘Perikatan-Barisan-Nasional’ (PBN),” katanya.





