Wanita yang merempuh sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Genting Klang berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju di Kuala Lumpur, semalam didapati berada di bawah pengaruh alkohol.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata wanita yang memandu BMW itu gagal berhenti ketika lampu isyarat merah lalu merempuh sebuah motosikal Yamaha yang bergerak lurus dari arah lampu isyarat hijau.
“Ujian alkohol ke atas wanita tempatan berusia 42 tahun itu mendapati bacaan sebanyak 183mg/100ml,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Mohd Zamzuri berkata kemalangan menyebabkan penunggang motosikal, lelaki tempatan berusia 25 tahun mengalami kecederaan ringan manakala pembonceng, remaja perempuan 15 tahun tidak cedera.
Beliau berkata wanita itu mengaku bersalah di Mahkamah Trafik Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu dalam keadaan mabuk.
Bagaimanapun, Mohd Zamzuri berkata siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 42(1) akta sama kerana memandu secara berbahaya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran.
Terdahulu, rakaman video papan pemuka berdurasi lebih seminit memaparkan sebuah motosikal dilanggar kereta di simpang empat lampu isyarat sehingga menyebabkan penunggang dan pembonceng terjatuh tular di media sosial.





