Sering dilihat berkongsi pentas bersama, penyanyi Black Hanifah mengakui mempunyai keserasian tersendiri dengan Hazama selepas melalui persahabatan dan perjalanan kerjaya yang panjang sejak awal kemunculan mereka dalam industri seni.
ARTIKEL BERKAITAN: Black Hanifah ‘Hadiahkan’ Konsert Ekslusif ‘Nyawa’ Khas Buat 600 Peminat Sempena 17 Tahun Dalam Industri
ARTIKEL BERKAITAN: Black Hanifah Dakwa Ditipu Sebelum Konsert, Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang
Selesa Bekerjasama Dengan Hazama
Namun Black menegaskan mereka bukan hadir sebagai satu ‘pakej’ yang perlu diambil bersama oleh mana-mana penganjur kerana masing-masing mempunyai pengurusan serta kadar bayaran berbeza.

“Kami bukan datang dalam satu pakej kerana pengurus pun berbeza dan bayaran masing-masing juga tidak sama.
“Bagi saya, soal bayaran bukan perkara utama. Biasanya saya akan tanya dahulu siapa yang akan bekerjasama dengan saya. Kalau ada Hazama, memang saya selesa sebab senang bekerja dengannya.
“Untuk konsert, saya memang suka bergandingan dengan Hazama sebab dia bukan sekadar menyanyi. Dia akan beri idea dan kalau ada kekurangan daripada pihak saya, dia akan tegur,” katanya.
Black ditemui pada sidang media Suka Showcase bersama Hazama dan Black di Hotel Royal Signature, baru-baru ini.
Hazama Pernah Jadi Penyanyi Latar Black
Menurut Black, hubungan mereka sudah terjalin sebelum Hazama menempa nama sebagai penyanyi solo, malah pernah menjadi penyanyi latar untuk persembahannya.
“Saya kenal dia sebelum orang mengenali Hazama seperti sekarang. Dulu dia pernah jadi penyanyi latar saya, termasuk untuk lagu Drama King.
“Kami berkawan sejak masih bujang, sebelum masing-masing berkahwin. Banyak perkara yang kami dah lalui bersama, jadi saya faham cara dia berfikir dan keikhlasannya dalam persahabatan.
“Antara kawan rapat saya dalam industri memang Hazama dan Tomok,” katanya.
Pernah Lalui Fasa Tegang
Black turut mengakui persahabatannya dengan Hazama pernah melalui fasa tegang sehingga masing-masing tidak bertegur sapa, namun pengalaman itu membuatkan mereka lebih menghargai hubungan yang dibina.

“Memang pernah bergaduh sampai isteri masing-masing jadi orang tengah. Bukan sampai bertumbuk, cuma kami berdiam dan tak bercakap.
“Tapi daripada situ saya banyak belajar tentang persahabatan. Alhamdulillah, sekarang semuanya baik. Kami pun ada perancangan bercuti bersama di Jepun dan Hazama juga dah beli tanah di Langkawi bersebelahan tanah saya,” katanya.
Bakal Berlayar Bersama
Disebabkan hubungan rapat itu, Black tidak mengambil masa lama untuk menerima tawaran menjayakan persembahan bersama Hazama di atas kapal Star Voyager menerusi Suka Showcase @ Sea.

“Saya belum pernah buat konsert berdua sahaja dengan Hazama. Jadi bila dapat tahu pasangan saya untuk persembahan ini ialah Hazama, saya terus setuju.
“Bukan kerana duit. Keluarga kami pun rapat dan sejak awal kerjaya lagi nama kami memang sering dikaitkan. Rakan duet pertama saya selepas keluar program realiti pun Hazama menerusi Drama King.
“Dalam masa sama, saya belum pernah naik kapal ini. Jadi kali ini dapat peluang bekerja sambil bercuti, memang saya teruja,” katanya.
Selepas kejayaan KRU Showcase pada Januari lalu, Suka Travel & Tours Sdn Bhd meneruskan konsep hiburan di atas kapal menerusi Suka Showcase @ Sea yang menampilkan Hazama, Black dan Shila Amzah.
View this post on Instagram
Hazama dan Black dijadualkan mengadakan persembahan eksklusif menerusi pelayaran dari Port Klang ke Phuket bermula 20 Disember 2026, sekali gus menawarkan pengalaman percutian dan hiburan secara langsung kepada peminat.
The post Kenal Sejak Awal Kerjaya, Black Hanifah Hargai Persahabatan Dengan Hazama first appeared on OHBULAN!.





