Veteran Umno menepis tanggapan bahawa parti itu tidak mempunyai kekuatan di Melaka seperti didakwa pemimpin PAS.
Setiausaha Agungnya, Mustapha Yaakub berkata, seperti di Johor yang merupakan kubu kuat Umno, begitu juga di Melaka parti itu mempunyai kekuatan sehingga berupaya membentuk kerajaan negeri.
“PAS tidak kuat di Johor sedari dulu. Masa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baru-baru ini, Umno bersetuju untuk menyerahkan dua (kerusi) DUN boleh menang kepada PAS sebagai tanda persahabatan dan persefahaman.
"Tapi PAS tak setuju. PAS mahu lebih dan memilih untuk bertanding di sebelas DUN.
“Di Melaka Umno kuat. Dalam PRN15 kita menang 21 daripada 28 DUN. Dalam PRN15 kita tawar kepada PAS (tanding) lima DUN boleh menang. Tapi PAS menolak. Semua itu telah berlalu," katanya kepada Malaysiakini.
Mustapha berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mendakwa dia tidak tahu sama ada Umno mempunyai kekuatan ataupun tidak.
Lidah rasmi PAS melaporkan, Abdul Hadi berkata PAS membawa agenda perpaduan ummah sebagai pendekatan politik bagi menghadapi PRN Melaka.

“Melaka saya tak tahu Umno kuat ke tidak. Ini kita bincanglah, masih berbincang lagi. Terengganu, Kelantan ada pendekatan dia. Jangan bimbang. Kita membawa agenda Perpaduan Ummah.
“Perpaduan Ummah untuk menguasai politik, orang Melayu dan bukan Islam yang tidak ekstrem. Ini pendekatan kita,” ujar beliau dalam Majlis Makan Malam Amal PAS Negeri Melaka di Mudzaffar Hotel pada 24 Ogos lalu.
Sementara itu, Mustapha berkata kejayaan BN-PN dalam PRN Negeri Sembilan menunjukkan persefahaman antara parti itu berada pada tahap lebih baik.
Oleh itu dia berharap kedua-dua gabungan itu dapat mencari formula menang-menang bagi menghadapi pilihan raya kerana matlamat mereka sama mahu mengalahkan Pakatan Harapan (PH).
"Kejayaan BN/PN dalam PRN Negeri Sembilan menjadi petunjuk baru kepada kerjasama dan persefahaman yang lebih baik kepada Umno dan PAS.
"Kita berharap satu formula yang menguntungkan kedua-dua pihak dapat dipersetujui bukan sahaja di Melaka, tetapi di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis seterusnya PRU16. Matlamat kita sama iaitu untuk mengalahkan PH," katanya lagi.





