Pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Salleh sebagai salah seorang daripada sembilan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dilakukan mengikut budi bicara Perdana Menteri berdasarkan undang-undang, dan tidak boleh dicabar, kata Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Dia memberitahu pemberita hari ini bahawa pelantikan Perdana Menteri dilakukan tanpa perlu berunding dengan sesiapa pun, termasuk dirinya sendiri.
“Saya tidak boleh mempersoalkan, tiada siapa yang boleh mempersoalkan (pelantikan) kerana ia adalah kuasa (Perdana Menteri), jadi, kita menerimanya seadanya.
“Memandangkan (Terrirudin) ahli JAC, yang dilantik oleh PM, kita akan meneruskan mesyuarat, dengan dia sebagai ahli,” katanya.
Wan Farid menambah bahawa walaupun seorang hakim juga akan dihakimi, namun komen terhadap Terrirudin sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai hakim Mahkamah Persekutuan harus kekal berdasarkan sikap dan penghakimannya di mahkamah.
“Jika anda ingin menghakimi Terrirudin, marilah kita bersikap khusus mengenainya, jika anda ingin menghakiminya, (lakukanlah) berdasarkan alasan penghakimannya, sikapnya di mahkamah, cara dia mengendalikan peguam (dan) hujah oleh kedua-dua pihak.
“Bukan melalui perkara lain, bukan melalui sejarah. Orang ramai boleh menilai saya berdasarkan sejarah saya tetapi adakah ia adil kepada hakim tertentu itu?
“Jadi cara terbaik adalah untuk orang ramai menerima perkara ini seadanya, teruskan dan menilai hakim tertentu berdasarkan prestasinya di dalam mahkamah,” katanya.
[Laporan lanjut menyusul]





