PAS tidak bercadang untuk mengkaji semula kerjasamanya dengan Gerakan dan perkara itu tiada dalam perbincangan dan agenda parti itu, kata naib presidennya Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pemimpin PAS itu menegaskan bahawa hubungan Gerakan dengan parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang lain juga tidak terjejas dan berterusan.
Samsuri berkata, hal ehwal dalaman akan diselesaikan dengan baik dan tidak melibatkan pihak luar.
"Hubungan dengan Gerakan setakat ini tidak timbul apa-apa (masalah). (Berjalan) seperti biasa. Kita pun tiada bincang dalam mesyuarat untuk ambil langkah yang lain.
"Setakat ni tidak timbul agenda untuk dibincangkan. Mesyuarat belum lagi," katanya dipetik Sinar Harian hari ini.
Tambahnya, isu yang timbul lebih kepada hal ehwal dalaman parti politik masing-masing.
"Apa yang berlaku dalam keluarga kami, biar kami selesaikan cara keluarga dalam muafakat kami sendiri," tambah menteri besar Terengganu itu.
PAS dan Gerakan bertelagah mengenai perananan syarikat arak dalam acara pengumpulan dana untuk sekolah Cina.
Sebelum itu, mereka juga bertelagah berhubung isu larangan judi di Kedah.
Samsuri menggesa kerajaan bertegas dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak berhubung isu pengumpulan dana kilang bir.
"Kerajaan perlu kembali kepada polisi dan dasar sedia ada yang diamalkan kementerian sejak berpuluh tahun.
"Negara lain macam Australia pun ada dasar yang sama, tambahan pula budaya kita dengan isu pendidikan anak-anak muda yang perlu kita tekankan supaya mereka faham mana yang baik dan buruk," katanya.





