PAS menyambut baik saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar pemimpin dan ahli politik tidak menjadikan isu agama sebagai senjata politik demi kepentingan peribadi.
Pada masa sama Setiausaha Agungnya PAS Takiyuddin Hassan mengulangi pendirian parti itu yang kerajaan perlu tegas dalam mengawal dan mengurus tindak-tanduk anggotanya sendiri berkenaan isu tersebut.
Takiyuddin berkata ini kerana kegagalan kerajaan mengambil tindakan tegas, adil dan segera hanya akan mengundang respons buruk daripada golongan yang terkesan.
“Dalam konteks ini, PAS berasa perlu untuk mengulangi gesaan berhubung ketegasan kerajaan dalam mengawal dan mengurus tindak-tanduk anggotanya sendiri yang dilihat mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bidang kuasa dan tugas pihak-pihak berkuasa Islam mahupun kepentingan sah umat Islam.
“Ia jelas telah dan akan terus menyumbang kepada konflik, ketegangan dan suasana tidak harmoni, termasuk antara parti-parti komponen kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Walaupun Takiyuddin tidak menyatakan sebarang nama secar khusus, sejumlah pemimpin PAS sebelum ini pernah menyasarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dengan dakwaan yang berkaitan.
Dalam kalangan parti kerajaan pula, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh beberapa kali bertelagah dengan DAP, termasuk ketika membantah cadangan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui untuk melantik menteri hal ehwal bukan Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu berkata PAS mengalu-alukan pendirian kerajaan berhubung kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang mesti dimartabatkan, selain keperluan semua pihak "tidak melanggar jalur, peraturan dan hukum" berkait agama dan kaum.
“Penegasan ini adalah selari dengan dasar PAS sejak sekian lama berhubung kepentingan dan keutamaan sikap saling menghormati, memahami dan menghargai sebagai identiti teras masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
“Bagi PAS sikap tersebut bukanlah sekadar nilai atau idealisme yang dirujuk pada masa-masa tertentu, tetapi merupakan cara hidup dan cara berfikir kebangsaan yang wajib menjadi amalan dalam semua keadaan dan pada setiap ketika,” katanya.





