PANDUAN KINI | Apabila 107 banduan yang sedang menunggu perbicaraan di Mahkamah Tinggi dipindahkan dari Pusat Koreksional Batu Gajah ke Penjara Taiping pada 16 Januari 2025, mereka tidak menyangka akan dipukul, dipijak dan dikasari oleh pegawai penjara.
Insiden itu digelar sebagai "rusuhan penjara", namun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diteliti oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendapati keganasan fizikal hanya dilakukan oleh pegawai penjara, bukannya banduan.
Malaysiakini meneliti laporan Suhakam setebal 261 muka surat bagi merungkai apa yang sebenarnya berlaku.
Apa yang berlaku sebelum 'rusuhan'?
Kesemua banduan dipindahkan ke Penjara Taiping kerana kesesakan di Pusat Koreksional Batu Gajah.
Setibanya di penjara, berlaku pertikaman lidah antara beberapa banduan dengan seorang pegawai penjara selepas mereka dilarang membawa barangan peribadi seperti pakaian atas faktor keselamatan.

Banduan kemudian ditempatkan semalaman di Dewan B bagi menjalani pemeriksaan keselamatan lanjut.
Mereka sepatutnya dipindahkan ke Blok E, namun enggan berbuat demikian.
Mengapa banduan enggan ke Blok E?
Ringkasnya, Blok E disifatkan tidak sesuai didiami manusia.
Kemudahan tandas hanya menggunakan baldi, selain keadaan yang kotor, tidak selamat dan tidak sesuai diduduki, menurut saksi ketika siasatan. Air juga memasuki sel apabila hujan.
Blok itu telah ditutup sejak 2021 selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan ia tidak selamat diduduki tanpa kerja pembaikan besar.
Pada 17 Januari, hari mereka sepatutnya dipindahkan, banduan mengadakan empat kali perbincangan dengan pegawai penjara, termasuk Timbalan Pengarah Penjara, Shahrul Izzat Hami, bagi memohon kekal di Blok B atau dipindahkan ke blok reman.
Permohonan mereka ditolak.
Bagaimana 'rusuhan' bermula?
Pada kira-kira jam 4 petang 17 Januari, ketika banduan sedang berbual, berehat dan tidur, mereka diberikan masa hanya seminit untuk bersiap ke Blok E.
Selepas tempoh itu, kira-kira 58 pegawai penjara, kebanyakannya lengkap memakai perisai badan serta membawa perisai, belantan dan penyembur lada, menyerbu masuk ke Dewan B.
Seramai 65 pegawai lagi berada di luar Blok B.
Banduan diarahkan duduk bersila dengan tangan di atas kepala.
Sebelum operasi bermula, Shahrul dilaporkan mengarahkan pegawai hanya menggunakan kekerasan sekiranya banduan bertindak ganas.
Namun, arahan itu tidak dipatuhi.
Rakaman CCTV menunjukkan sekumpulan pegawai menolak seorang banduan di bahagian belakang dewan, manakala seorang lagi dirakam menendang banduan yang sudah beratur. Kejadian itu mencetuskan kekecohan.
Banduan kemudian dibawa keluar seorang demi seorang menuju ke Blok E sambil ditolak, dipukul menggunakan belantan dan ditendang dari belakang. Menurut catatan Suhakam, hanya segelintir banduan tidak menjadi mangsa kekerasan.
Beberapa banduan yang sedang duduk beratur turut dipukul di kepala menggunakan belantan, manakala yang lain disembur penyembur lada.
Antara yang dipukul berulang kali ialah Gan Chin Eng, 61, yang meninggal dunia tidak lama kemudian.
Semua kejadian itu berlaku di hadapan Shahrul.
Suhakam turut menyatakan rakaman CCTV tidak menunjukkan sebarang tindakan balas atau keganasan dilakukan oleh banduan terhadap pegawai penjara sepanjang proses pemindahan.
Adakah Gan menerima rawatan?
Menurut Suhakam, Gan menerima rawatan yang lewat dan cuai.
Selepas dipukul dan ditendang, dia dilihat tercungap-cungap serta berada dalam keadaan lemah ketika dipindahkan ke Blok E.

Di dalam Blok E, Gan rebah. Ketika rakan-rakan banduan cuba membantu dan mengipasnya, sekurang-kurangnya tujuh pegawai penjara berhampiran didakwa tidak mengendahkan keadaannya.
Hanya selepas rayuan berterusan daripada banduan lain, seorang sarjan mengarahkan Gan dibawa ke pintu utama menggunakan pengusung.
Seorang pegawai perubatan yang bertugas di penjara mendapati paras oksigennya tidak stabil.
Walaupun doktor mendakwa Gan dihantar ke hospital dalam tempoh lima hingga lapan minit selepas tiba di pintu pagar, rakaman CCTV menunjukkan dia sebenarnya menunggu lebih 30 hingga 40 minit.
Sepanjang tempoh itu, laporan Suhakam menyatakan doktor terbabit meninggalkan Gan tanpa pengawasan bagi bertemu Pengarah Penjara Taiping, Nazri Mohamad, di kantin.
Gan akhirnya dihantar menggunakan van penjara yang tidak dilengkapi peralatan perubatan dan tanpa ditemani petugas kesihatan.
Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Taiping sejurus tiba selepas bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR) selama 15 hingga 20 minit gagal menyelamatkannya.
Dalam surat rujukan ke hospital, doktor dilaporkan menyatakan kecederaan Gan berpunca daripada "didakwa terjatuh di tandas" berdasarkan keterangan dua banduan.
Bagaimanapun, kedua-dua banduan itu menafikan pernah membuat dakwaan sedemikian.
Apa yang berlaku kepada banduan lain?
Selepas kejadian itu, 24 banduan diasingkan di Blok C, manakala selebihnya ditempatkan di Blok E yang uzur.
Pada malam kejadian, dua pegawai perubatan penjara merawat mereka yang cedera parah, namun hanya membersihkan luka dan membalut menggunakan kain kasa. Tiada luka dijahit, termasuk kecederaan di kepala.
Jahitan hanya dibuat pada keesokan harinya, malah seorang banduan hanya menerima jahitan tiga hari kemudian.
Pemeriksaan perubatan beberapa hari dan minggu selepas itu mendapati ada banduan mengalami kecederaan serius termasuk tulang rusuk patah dan gegendang telinga pecah.

Sebahagian mereka hanya dihantar ke hospital selepas mengadu mengenai kecederaan ketika hadir di mahkamah.
Pada masa sama, pihak pengurusan penjara bercadang mengambil tindakan disiplin terhadap 24 banduan yang diasingkan dengan mendakwa mereka mencetuskan rusuhan.
Dalam tempoh beberapa hari selepas pemindahan, pihak penjara didakwa tidak membekalkan keperluan asas seperti sabun, berus gigi, tilam, selimut dan selipar.
Banduan juga dipaksa memakai pakaian yang masih berlumuran darah selama dua minggu serta hanya dibenarkan mandi menggunakan air daripada besen kotor yang lazimnya digunakan untuk mencuci baldi tandas.
Mereka turut dihalang menerima lawatan keluarga dan menggunakan telefon, sekali gus menghalang maklumat mengenai kejadian itu daripada diketahui pihak luar.
Bagaimanapun, Nazri mendakwa keutamaan lawatan dan penggunaan telefon diberikan kepada banduan berbangsa Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Mengapa insiden itu digelar sebagai rusuhan?
Panel siasatan awam Suhakam menyimpulkan istilah "rusuhan" sengaja diwujudkan oleh pihak pengurusan penjara selepas kejadian bagi menutup tindakan keganasan pegawai penjara.
Suhakam turut mendakwa Shahrul mengarahkan seorang pegawai membuat laporan polis palsu dengan mendakwa banduan bertindak agresif dan menyerang pegawai sehingga memaksa mereka bertindak balas.
Suruhanjaya itu juga menegaskan dakwaan kononnya seorang banduan mengugut untuk merogol isteri seorang pegawai adalah cerita yang direka bersama.

Menurut Suhakam, rekod perubatan turut dimanipulasi dengan catatan seperti "post provocation riot" dan "hostile inmate started riot" bagi menyokong naratif tersebut.
Apakah tindakan yang diambil?
Walaupun siasatan dalaman Jabatan Penjara mengesahkan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan penggunaan kekerasan oleh pegawai, tiada tindakan tatatertib dikenakan terhadap mereka.
Alasan yang diberikan ialah tindakan pentadbiran tidak boleh diambil selagi siasatan polis masih berjalan atas prinsip "double jeopardy", namun panel siasatan menyifatkan alasan itu tidak berasas dari segi undang-undang.
Sebaliknya, jabatan hanya memindahkan Pengarah Penjara ke pejabat negeri dan enam lagi pegawai ke Pusat Koreksional Kamunting.
Siasatan polis yang pada awalnya hanya memfokuskan kematian Gan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan turut dikritik kerana tidak menyiasat secara menyeluruh dakwaan serangan terhadap banduan lain.
Akhirnya, seorang pegawai didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh berkaitan kematian Gan.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 23 Jun 2026, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan kementerian dan Jabatan Penjara sedang melaksanakan tindakan susulan terhadap syor yang dikemukakan Suhakam.

Antara langkah yang diumumkan ialah pemansuhan secara berperingkat sistem tandas menggunakan baldi.
Apakah syor Suhakam?
Panel siasatan mengemukakan beberapa syor utama, antaranya:
-
Polis menjalankan siasatan berasingan, telus dan menyeluruh terhadap keganasan pegawai penjara serta dakwaan laporan palsu, diikuti pendakwaan segera jika terdapat kesalahan.
-
Penjara Taiping ditamatkan fungsinya sebagai pusat tahanan kerana keadaannya yang berbahaya dan berstatus bangunan warisan, serta sebuah penjara baru dibina di lokasi lain.
-
Sistem tandas menggunakan baldi dimansuhkan serta-merta dan digantikan dengan kemudahan sanitasi moden.
-
Kerajaan menangani masalah kesesakan penjara dan tempoh reman yang terlalu lama.
-
Pegawai perubatan penjara diletakkan di bawah seliaan terus Kementerian Kesihatan bagi menjamin kebebasan profesional.
-
Malaysia meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan (UNCAT) serta menggubal undang-undang khusus bagi menjadikan penyeksaan sebagai satu kesalahan jenayah.
-
Kerajaan memperkukuh kuasa statutori Suhakam supaya suruhanjaya itu mempunyai akses tanpa sekatan dan tanpa notis ke semua pusat tahanan.





